Monday 11 May 2015

Perbahasan media sosial boleh gugat keharmonian

Tan Sri Joseph Kurup

KUALA LUMPUR - Perbahasan isu-isu etnik dan agama secara terbuka di media sosial boleh menggugat keharmonian hidup bermasyarakat negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup berkata, keterbukaan kelompok masyarakat terutama generasi muda yang kerap membahaskan isu-isu sensitif tanpa memikirkan sensitiviti boleh mengundang rasa tidak puas hati sesetengah pihak.

"Saya lihat ancaman terhadap perpaduan negara seolah-olah tidak mempunyai sempadan lagi hingga rakyat yang berada di luar negara juga mampu mengancam perpaduan kita," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Pembinaan Bangsa Warisan, Watan dan Wawasan Hubungan Etnik di Malaysia di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya masyarakat memerlukan anjakan paradigma iaitu suatu perubahan melibatkan konsep baharu cara pengurusan perpaduan negara.

Menurutnya pembinaan perpaduan bangsa dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik perlu berdasarkan kepada prinsip integrasi dalam usaha memupuk dan menerima perbezaan identiti setiap rakyat.

Dalam pada itu, Kurup berkata, Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang akan dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada sidang Parlimen akan datang, memberi lebih fokus terhadap pengukuhan perpaduan dalam kalangan generasi muda.

"Justeru itu, saya berharap satu laporan dapat disediakan berdasar perbincangan yang telah dilakukan dalam seminar hari ini supaya kita boleh gunanya sebagai asas kepada sebuah pelan tindakan perpaduan," katanya.

Menurutnya pelan tindakan itu akan membantu kerajaan mempraktik elemen perpaduan yang lebih kukuh terhadap generasi muda dalam melaksanakan RMK11. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment