Sunday 17 May 2015

Pulak?? Dr M dijangkiti penyakit pembangkang?

Datuk Seri Salleh Said Keruak

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah dijangkiti penyakit pembangkang yang sering mencabar untuk perbahasan.

Speaker Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, sebagai bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir sepatutnya lebih memahami bahawa perdebatan dengan rakyat biasa bukan protokol wajar bagi seorang pemimpin negara.

“Tun Mahathir kini telah meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berdebat mengenai badan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Ia bukan protokol wajar bagi seorang Perdana Menteri untuk menerima perbahasan daripada rakyat biasa, walaupun warganegara yang pernah menjadi Perdana Menteri atau Ketua Pembangkang,” katanya menerusi tulisan diblognya.

Katanya lagi, Tun Mahathir sebaliknya perlu mencadang untuk mengadakan sesi perbahasan dengan Najib supaya topik 1MDB boleh dikupas dengan lebih meluas.

“Jika Ketua Pembangkang ada apa-apa isu, dia sentiasa boleh membawa perkara-perkara tersebut ke sidang Dewan Rakyat. Bagaimanapun, debat tidak boleh mengatasi apa-apa isu seperti 1MDB. Perbahasan hendaklah meliputi isu-isu yang lebih luas.

“Sebaliknya, jika perdebatan ini terhad kepada hanya 1MDB, maka perbahasan perlu memberi tumpuan kepada dakwaan bahawa 1MDB telah kehilangan RM42 bilion atau RM42 bilion telah hilang ke udara nipis,” katanya lagi.

Najib pada satu majlis semalam mengingatkan Dr Mahathir bahawa sokongan terhadapnya pernah berkurangan sehingga 50 peratus suatu ketika dahulu dan hanya kekal sebagai PM kerana Perlembagaan parti.

Kata Najib, beliau masih menerima sokongan daripada rakyat dan parti untuk terus memimpin negara.

Salleh Said dalam pada itu turut mempersoal sikap Dr Mahathir yang didakwa tidak sabar dan terburu-buru dalam menyelesaikan krisis 1MDB.

“Satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah ini adalah untuk menunggu laporan PAC dan lihat apa yang dikatakannya.

“Mengapa Dr Mahathir enggan menunggu laporan PAC? Apa yang dia takut? Adakah dia bimbang bahawa laporan PAC yang akan membuktikan bahawa RM42 bilion belum hilang?” soalnya lagi.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment