Sunday 17 May 2015

Mahathir sedia berdebat dengan Najib

Tun Dr Mahathir menyatakan kesediaannya pada bila-bila masa untuk berdebat secara terbuka dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

IPOH: Tun Dr Mahathir Mohamed turut menyatakan kesediaannya pada bila-bila masa untuk berdebat secara terbuka dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pelbagai isu berbangkit termasuk 1MDB dengan disaksikan rakyat jelata.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada salah seorang peserta yang hadir.

Sementara itu, Tun Mahathir berkata, parlimen boleh melaksanakan undi tidak percaya untuk menjatuhkan Najib sekiranya pemimpin negara itu tidak mendapat kepercayaan rakyat.

Namun begitu, katanya, memandangkan ahli UMNO bukan majoriti maka ia terpaksa mendapatkan sokongan daripada ahli-ahli Barisan Nasional (BN).

Menurut Mahathir lagi, beliau dapati ahli UMNO agak lemah kerana tidak berani untuk berbuat apa-apa pun kerana menjaga kepentingan ataupun takut tidak dipilih menjadi calon pilihan raya sebab itu agak sukar untuk mengadakan undi tidak percaya.

Dr Mahathir juga memberitahu bahawa speaker Dewan Rakyat mahu meletakkan jawatan. Katanya, speaker telah datang menemuinya dan memberitahu tidak mahu lagi menjadi speaker.

Tun Mahathir juga memberitahu, beliau bersedia dipecat daripada menjadi ahli parti sekiranya pucuk pimpinan parti mengambil keputusan sedemikian kerana tindakannya melawan presiden parti.

Di majlis yang sama, mantan Perdana Menteri itu turut mengulangi ramalannya yang Barisan Nasional (BN) akan kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 sekiranya UMNO tidak menggugurkan presiden parti itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau turut bimbang sekiranya BN kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti UMNO akan lenyap dan adalah amat sukar untuk dipulihkan.

Menurut Tun Mahathir, UMNO yang berjuang untuk bangsa, agama dan negara tidak boleh membiarkan sokongan kepada individu satu dengan menidakkan sokongan kepada agama, bangsa dan negara.

“Saya berusaha berhempas pulas nak dia jadi Perdana Menteri takkanlah saya tiba-tiba nak menjatuhkan dia tapi banyak sangat dah yang dia buat yang tak kena, sebab tu saya berpendapat masa sudah tiba untuk dia berhenti daripada menjadi perdana menteri,”

Beliau berkata demikian pada majlis Bicara Negara bersama Tun Dr Mahathir di Hotel Tower Regency, Ipoh pada Sabtu yang dihadiri lebih 1,000 pada majlis itu.

Antara pemimpin UMNO negeri yang turut hadir ialah Ketua Bahagian UMNO Kampar, Dato’ Mohd Radzi Manan dan bekas Exco kanan kerajaan negeri, Dato’ Hamidah Osman dan veteran UMNO negeri. 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment