Sunday 17 May 2015

Pengebom Boston dijatuhi hukuman mati dengan suntikan maut

Tsarnaev yang menghilangkan diri selepas kejadian itu kemudiannya ditahan empat hari kemudian manakala abangnya (kiri) ditembak mati ketika cuba meloloskan diri. - Foto AFP

BOSTON: Barisan panel juri hari ini menjatuhkan hukuman mati terhadap Dzhokhar Tsarnaev di atas tuduhan melakukan serangan bom ketika berlangsung maraton di Boston, pada April 2013.

Juri mengambil lebih 14 jam untuk memutuskan hukuman mati untuk enam daripada 17 tuduhan bagi Tsarnaev yang merupakan seorang beragama Islam yang diberi status warganegara Amerika Syarikat ketika kecil.

Perbincangan kes berkenaan diadakan selama tiga hari dan 12 panel juri terpaksa sebulat suara menjatuhkan hukuman mati terhadap Tsarnaev. Jika tidak, bekas pelajar universiti berketurunan Chechen itu secara automatik akan menerima hukuman penjara seumur hidup tanpa parol.

Hukuman mati ke atas Tsarnaev, 21 akan dilakukan secara suntikan maut.

Dalam insiden pada 3 April 2013 itu, tiga orang terbunuh manakala lebih 260 cedera apabila bom yang diletakkan Tsarnaev dan abangnya meletup di garisan penamat.

Sebelum ini peguam Tsarnaev mengakui anak guamnya memainkan peranan dalam serangan itu, tetapi ia didalangi dan dirancang abangnya.


Tsarnaev yang menghilangkan diri selepas kejadian itu kemudiannya ditahan empat hari kemudian ketika bersembunyi di dalam sebuah bot.

Abang Tsarnaev bagaimanapun terbunuh selepas ditembak ketika cuba melarikan diri.

- Sumber: AFP

No comments:

Post a Comment