Sunday 17 May 2015

Dibelasah kerana enggan sertai geng samseng

Kamarul Zaman Mamat

KLANG - Seorang pelajar tingkatan satu cedera dipukul sekumpulan remaja lelaki kerana enggan menyertai kumpulan samseng.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat memberitahu, mangsa diserang pada Khamis lalu, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

"Beberapa remaja lelaki menghampiri mangsa kemudian menariknya ke kawasan perumahan berhampiran dan menolak mangsa sehingga terjatuh ke dalam longkang.

“Mangsa dipercayai dipukul kerana enggan menyertai kumpulan samseng disertai suspek. Akibatnya mangsa cedera di tangan, calar di belakang badan serta luka di kaki,” katanya.

Menurutnya, suspek bagaimanapun berhenti memukul mangsa dan melarikan diri selepas ternampak pasukan polis melakukan rondaan di kawasan berkenaan.

“Susulan kejadian itu, polis menahan seorang remaja berusia 13 tahun bagi membantu siasatan. Siasatan mendapati suspek tidak bersekolah lebih dua tahun. 

“Siasatan terperinci dijalankan bagi mengenal pasti sama ada suspek terlibat kegiatan gengsterisme,” katanya.

Polis juga kini memburu saki baki rakan suspek bagi membantu siasatan.

“Mangsa yang cedera di tangan, bahagian belakang badan dan kaki telah dirujuk ke hospital bagi mendapat rawatan,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment