Saturday 23 May 2015

Pengebom berani mati IS serang masjid Syiah Arab Saudi, 21 terbunuh

Pihak IS buat kali pertama mengakui bertanggungjawab di sebalik serangan di Arab Saudi itu. - Foto AFP

RIYADH: Pengebom berani mati militan Negara Islam (IS) telah menyerang sebuah masjid Syiah di Arab Saudi sewaktu solat Jumaat hingga mengorbankan 21 orang dan mencederakan 81 yang lain.

Kementerian Dalam Negeri berkata, pengebom berani mati itu meletupkan bom berkenaan di sebuah masjid di Qatif iaitu kota yang majoritinya dihuni golongan Syiah.

“Seorang pengebom berani mati dikatakan telah meledakkan bom yang menjadi sebahagian daripada pakaiannya sewaktu solat Jumaat berlangsung di Masjid Ali Ibn Abi Taleb di Qatif,” ujar jurucakap kementerian dalam sebuah kenyataan.

Kementerian Kesihatan telah mengesahkan bahawa terdapat 21 orang maut, 81 cedera termasuk 12 yang dalam keadaan kritikal.

Pihak IS buat kali pertama mengakui bertanggungjawab di sebalik serangan di Arab Saudi itu. Mereka juga berikrar bahawa ‘hari-hari gelap’ menanti golongan Syiah.

Sebuah kenyataan yang disiarkan dalam talian mendakwa ‘tentera Khalifah’ adalah pihak yang melaksanakan serangan itu melalui pengebom yang dinamakan sebagai Abu Amer al-Najdi.

Amerika Syarikat dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam pengeboman tersebut, namun jurucakap White House Josh Earnest berkata terlalu awal untuk mengesahkan insiden itu ada kaitan dengan IS.

Syiah Iran mendesak pihak yang bertanggungjawab ditangkap dan dihukum, sementara sekutunya Hezbollah mendakwa pihak berkuasa Arab Saudi bertanggungjawab sepenuhnya atas kejadian berkenaan.

Banyak portal berita di timur Arab Saudi menyiarkan gambar-gambar mayat yang bergelimpangan di atas sejadah yang berdarah selain kerosakan dalam masjid.

Hospital Qatif telah menyeru sumbangan darah selain mengerahkan seluruh tenaga kerjanya bertugas.

Seorang penduduk Naseema Assada berkata letupan itu berlaku ketika para pengikut Syiah sedang meraikan ulang tahun kelahiran Imam Hussein, iaitu seorang tokoh yang disanjung tinggi oleh golongan Syiah.

“Kami tidak mahu perkara yang berlaku di Syria atau Iraq berulang. Ini negara kami yang amat disayangi,” ujarnya merujuk kepada ketidakstabilan di dua negara tersebut.

Mufti Arab Saudi juga mengutuk serangan tersebut dengan menegaskan bahawa ia tetap perbuatan jenayah yang mahu memecahbelahkan bangsa Arab serta mencetus huru-hara.

- Sumber: AFP

No comments:

Post a Comment