Menteri Besar Perak berkata Sultan Nazrin Muizzuddin Shah murka dengan tindakan Adun pembangkang yang berpakaian serba hitam semalam. - Foto Bernama
IPOH: Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah murka dengan tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang yang berpakaian serba hitam pada Istiadat Pembukaan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, semalam.
Beliau berkata ekoran tindakan biadab semua Adun pembangkang itu menyebabkan Sultan Perak menitahkan untuk tidak menghadiri sesi bergambar dan majlis santapan.
"Seorang Raja bukan mudah menyebut Beta murka tapi rakyatnya serta (saya) sebagai memanda Menteri Besar baginda, kita fahamlah apa ayat yang telah dizahirkan, jadi tak perlulah saya sebut kalau pembangkang nak tanya Tuanku murka atau tidak, saya nak sebutkan, ya, Tuanku murka," katanya kepada pemberita di Dewan Undangan Negeri hari ini.
Zambry berkata semalam merupakan hari bersejarah buat Tuanku yang merupakan keberangkatan pertama baginda ke DUN selaku Sultan Perak ke-35 dengan mengenakan pakaian rasmi Sultan dan akan dirakamkan dalam arkib negara.
"Bagi seorang Raja, orang-orang penting, pemimpin dan sebagainya peristiwa itu dianggap bersejarah yang akan disimpan tapi bayangkan dengan tindakan mereka (pembangkang) yang juga akan menjadi sejarah. Walaupun apa yang mereka sebutkan taat setia, mohon ampun dan tidak berbelah bahagi kepada Raja, tetapi perbuatan semalam tetap terakam dalam sejarah," katanya.
Selain itu, Zambry berkata tindakan pembangkang berpakaian serba hitam antaranya sebagai tanda protes dan solidariti terhadap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah usaha untuk mengalih tumpuan terhadap isu sebenar yang menimbulkan kemarahan rakyat.
"Saya menganggap kenyataan ini sekali lagi menunjukkan sikap sebenar mereka dan saya ulang sekali lagi, mereka tidak menunjukkan perbuatan yang mereka lakukan itu dengan penuh kekesalan dan jelas menunjukkan bahawa mereka tetap angkuh dan biadab," katanya.
Zambry juga melahirkan rasa kecewa di atas tindakan pembangkang yang cuba mempertahankan diri dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian.
"Saya telah sebutkan bahawa semalam hari yang paling bersejarah buat Tuanku dan alasan yang diberi oleh mereka tidak menyalahi kod etika dan tunjuk protes mereka.
"Kalau mereka benar ikhlas dan ingin menunjukkan protes mereka kenapa hanya semalam tetapi tidak hari ini, saya mengganggap ia hanyalah semata-mata alasan yang paling cetek dan tidak munasabah yang mereka gunakan pada hari ini," katanya.
- Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment