Wednesday 1 April 2015

Jari kaki tertinggal di lokasi nahas

Lori jenis Isuzu remuk teruk di bahagian kiri akibat nahas terbabit. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang.

KUALA SELANGOR – Penemuan cebisan jari kaki milik kelindan yang maut dalam kemalangan di Kilometer 8.4 Lebuhraya Latar menghala ke Kuala Selangor menggemparkan pengguna jalan raya, petang kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 2.35 petang itu, mangsa, Ahmad Abdul Hafis Satar, 23, bersama seorang lagi kelindan dan pemandu lori jenis Isuzu dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuala Selangor.

Sumber berkata, lori yang dipandu rakan sekerja mangsa dipercayai tidak sempat mengelak sebuah lori jenis Nissan UD yang berhenti di lorong kiri kecemasan akibat tayar pecah.

Akibat pelanggaran di bahagian belakang sebelah kanan lori itu, mangsa dipercayai meninggal dunia selepas mengalami kecederaan teruk akibat tersepit dalam bahagian yang remuk.

Bagaimanapun, cebisan jari kaki milik mangsa maut yang ditemui orang awam berjaya diserahkan kepada polis di Hospital Tanjong Karang.

Manakala seorang lagi kelindan cedera parah dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan lanjut dan pemandu lori dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

Pemandu lori jenis Nissan UD dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan kerana berada di luar kenderaan ketika kejadian berlaku.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Muhd Taib Ahmad mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kemalangan terbabit.

Kes masih disiasat Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, Inspektor Mohamad Elme Othman di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan manakala seorang lagi kelindan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau terus ke IPD Kuala Selangor untuk membantu siasatan.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment