Tuesday 7 April 2015

Pembantu juruterbang sah warga Kyrgyzstan

Antara wakil kedutaan Kyrgyzstan yang hadir ke Jabatan Forensik Hospital Besar Kuala Lumpur, semalam.

SHAH ALAM - Kedutaan Kyrgyzstan mengesahkan Aidana Baizieva, seorang daripada enam mangsa nahas helikopter di Semenyih, Sabtu lalu ialah warganegara Kyrgyzstan.

Menurut wakil kedutaan itu, keluarga Aidana telah diberitahu dan wakil keluarganya telah hadir ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur semalam bagi proses kenal pasti melalui DNA.

“Kami tengah menunggu keputusan DNA. Setakat ini, belum dapat disahkan bahawa mayat itu milik Aidana 100 peratus.

“Kami tidak tahu berapa lama keputusan itu akan mengambil masa tetapi kami akan tetap menunggu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut jurucakap kedutaan itu, Aidana bekerja di Malaysia.

Bagaimanapun, Kedutaan Kyrgyzstan tidak dapat mengesahkan pekerjaan dan umur mangsa namun hanya memaklumkan mangsa beragama Islam.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Abu Samah Mat berkata, polis juga masih mengesan identiti Aidana yang dipercayai pembantu juruterbang helikopter tersebut.

Menurutnya, individu yang menuntut mayat pembantu juruterbang pada jam 11 pagi semalam di Hospital Kuala Lumpur dikenal pasti sebagai kakak tiri mangsa.

“DNA adik beradik tiri mangsa tidak cukup kuat untuk membantu siasatan, kita berharap ahli keluarga mangsa tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

Katanya, beg tangan yang ditemui kelmarin di lokasi nahas dipercayai milik Aidana.

Jurucakap Hospital Kuala Lumpur pula mengesahkan wakil kedutaan Kyrgyzstan hadir ke hospital berkenaan pagi semalam.

Bagaimanapun, status mayat tersebut masih diklasifikasikan sebagai sebagai tidak diketahui.

“Namun tidak pasti bila mayat mangsa akan dituntut,” kata jurucakap hospital itu.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment