Tuesday 7 April 2015

Fesyen kontroversi: Sharnaaz mohon maaf

Isu pakaian tersebut telah menimbulkan perdebatan di kalangan peminat, malah ada anggota pasukan keselamatan yang turut memberikan teguran.

DINOBATKAN Artis Paling Kontroversi bagi kategori online dalam majlis anugerah baru-baru ini, pelakon kacak, Sharnaaz Ahmad, tidak menunggu lama untuk dikaitkan dengan kontroversi baharu.

Hadir bersama dengan teman rapatnya, Anis Al Idrus, pada majlis berkenaan, fesyen yang diperagakan oleh pasangan selebriti ini mengundang rasa tidak senang segelintir pihak.

Menggayakan padanan fesyen yang dikatakan menyerupai pakaian tentera, ada yang menganggap persalinan itu tidak bersesuaian untuk menghadiri majlis hiburan dan dipakai secara sewenangnya.

Isu pakaian tersebut telah menimbulkan perdebatan di kalangan peminat, malah ada anggota pasukan keselamatan yang turut memberikan teguran.

Tidak menunggu lama untuk memberikan penjelasan, Sharnaaz menerusi laman sosial Instagram (IG) miliknya, tampil memohon maaf di atas perkara itu.

Malah, pelakon drama bersiri Bukan Kerana Aku Tak Cinta, ini juga turut memberitahu bahawa persalinan itu adalah hasil rekaan Coloursbyfaiesh.

"Sekadar kostum ya, jangan ada pihak yang tersinggung. Kalau pun ada, harap dimaafkan," katanya ringkas di samping memuat naik foto penuh pakaian berkenaan.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment