Tuesday 7 April 2015

Game seram terbaik 2014


Baru-baru ini, permainan video genre seram diubah suai dengan begitu drastik sehingga ada yang menyifatkan ia ‘lari’ daripada landsan sebenar. Itulah yang terjadi terhadap Resident Evil 6 (2012) yang dikritik kerana terlalu memfokuskan aksi dan mele­nyapkan elemen ketakutan yang menjadi pilihan peminat. Bukan itu saja, ia dibanjiri dengan letupan bom, fungsi multiplayer yang tidak diperlukan dan persekitaran yang menghilangkan aura seram daripada game terbabit.

Oleh itu, tahun lalu memperlihatkan pembaharuan di mana setiap game seram dihasilkan dengan begitu teliti dan dikekalkan identitinya untuk menarik kembali perhatian golongan sasar. Gen Y mengumpulkan tiga permainan video seram terbaik sepanjang 2014 untuk dijadikan tatapan bersama.

The Evil Within

Selepas sekian lama meninggalkan francais game Resident Evil (RE), Shinji Mikami membuat kemunculan semula dalam The Evil Within (EW) sebagai pengarah. Melihat terlalu banyak komen negatif yang dilontarkan pada RE 6, Mikami berkolaberasi dengan syarikat Tango Gameworks dan Bethesda Softworks dalam usaha mengembalikan apa yang diinginkan peminat.

Konsep permainan EW amat mudah iaitu pemain perlu mengawal protagonis Sebastian Castellanos untuk merungkai misteri di sebalik kejadian yang berlaku di sekelilingnya. Sama seperti game genre seram yang lain, EW mengutamakan konsep kekurangan peluru, elemen kejutan dan pihak musuh yang menggerunkan.

Dengan mengumpul gel berwarna hijau, pemain berkebolehan untuk menaik taraf setiap senjata ataupun meningkatkan peluang untuk bertahan lebih lama dalam permainan berkenaan. Senjata baru seperti busur silang mempunyai ciri berlainan berbanding senjata lain di mana anak panah boleh ditingkatkan kuasanya kepada elemen elektrik, letupan, pembekuan dan lain-lain.

Selain itu, ciri lain seperti perangkap membolehkan pemain menggunakan kebijaksanaan mengelirukan pihak lawan tanpa perlu membazirkan peluru. Menariknya, perangkap itu boleh dimatikan dan ditukarkan kepada komponen mekanikal yang diperlukan untuk menaik taraf kuasa anak panah. Game ini juga turut memaparkan suasana seram yang sentiasa berubah dan menekankan konsep ilusi.

Kejayaan Mikami menghidupkan kembali genre seram dalam Evil Within membuatkan peminat tegar genre ini masih kekal menyokong usaha beliau. Buktinya, laporan portal berita luar negara Eurogamer mendapati Evil Within adalah game kedua yang mempunyai jualan paling laris di United Kingdom pada minggu pertama permainan itu diterbitkan. Di Amerika Syarikat pula, EW menduduki tangga ketiga permainan dengan jualan paling laris pada Oktober 2014 seperti yang dilaporkan GamesIndustry.

Alien: Isolation 

Filem saintifik popular, Aliens mempunyai peminat tegarnya yang tersendiri. Dengan kehadiran permainan video Alien: Isolation, ternyata francais ini dapat memberi hiburan baru kepada peminat.

Berkisar mengenai perjalanan protagonis Amanda Ripley mencari jawapan tentang kehilangan ibunya, Amanda dipindahkan ke stesen angkasa lepas Sevastopol untuk mencari rakaman penerbangan Nostromo. Namun, nasib Amanda malang kerana terpaksa berdepan dengan seekor Alien yang ganas dan sudah membunuh hampir semua kreu kapal angkasa itu.

Penulis akui konsepnya unik kerana ia memfokuskan pada pihak lawan iaitu Alien dan bagaimana cara pemain mengelakkan diri daripada dilihat makhluk asing itu. Menariknya, makhluk asing itu dilengkapi deria bau dan bunyi yang peka. Contohnya, apabila pintu dibuka, Alien akan mencari siapa yang membukanya.

Alien juga akan mengeluarkan bunyi tertentu bergantung pada situasi. Contohnya, Alien akan menjerit apabila ia ingin menyerang dan mengeluarkan bunyi berlainan sewaktu mencari pemain ataupun ketika kehilangan mangsanya. Elemen seram boleh dirasai kerana pemain perlu sentiasa bijak mengawal langkah daripada dikesan Alien sepanjang tempoh permainan.

Untuk mengelak daripada dilihat, pemain boleh menyorok di belakang objek dan diberi akses kepada lampu suluh dan pengesan gerakan untuk mengenal pasti corak perjalanan Alien itu. Namun, pemain perlu berhati-hati sewaktu menggunakan peralatan itu kerana setiap bunyi dan cahaya akan menarik perhatian Alien. Permainan itu juga memfokuskan sistem pertahanan diri iaitu pemain boleh mencipta senjata dan alat untuk mempertahankan diri.

Permainan video popular itu diberi komen positif yang menekankan corak permainan baru, kepandaian makhluk asing, plot dan elemen seram. Portal berita luar negara Games Radar memberikan markah 4.5/5, memuji kecantikan grafik dan kebijaksanaan pihak lawan, sekali gus menyebabkan permainan itu sukar diramal.

- Sumber: Harian Metro | March 2015

No comments:

Post a Comment