Tuesday 7 April 2015

Dua pasang kekasih ditahan bersama ganja

Yahaya (tengah) menunjukkan ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja yang dirampas selepas menahan pasangan kekasih di USJ14.

SUBANG JAYA – Dua pasangan kekasih termasuk seorang daripadanya yang berkhidmat di sebuah agensi kerajaan ditahan bersama sejumlah dadah jenis ganja di sebuah pangsapuri di USJ 14, di sini, 3 April lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, hasil maklumat awam, polis melakukan pemeriksaan kepada sepasang kekasih di pintu keluar masuk pangsapuri terbabit kira-kira jam 12.10 tengah malam.

Hasil pemeriksaan di tubuh badan suspek lelaki menemukan polis dengan sekotak rokok mengandungi 1.09 gram ceraian daun kering disyaki dadah jenis ganja.

Pasangan itu kemudian membawa sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya ke rumahnya terletak di pangsapuri sama.

Serbuan ke rumah itu membawa kepada penahanan sepasang lagi kekasih berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun.

Yahaya berkata anggota polis menemui satu ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja berbalut kertas timah dan plastik lutsninar tertulis perkataan O.K seberat 882 gram dalam rumah tersebut.

Turut ditemui 19 peket bungkusan kertas timah mengandungi ketulan mampat seberat 306.75 gram dipercayai dadah jenis sama.

“Selain ganja dengan jumlah keseluruhan berat 1.43 kilogram bernilai RM3,500 itu, peralatan membungkus bahan terlarang turut ditemui dalam unit rumah pangsapuri berkenaan,”katanya.

Beliau berkata, pasangan kekasih terbabit dipercayai menjadikan rumah itu sebagai ‘port’ membungkus ganja sebelum diedar kepada penagih sekitar USJ dan Puchong dengan harga RM100 sepeket.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua lelaki yang ditahan positif dadah jenis ganja. Kes disiasat bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment