Monday 30 March 2015

Perkhidmatan monorel ditangguh sementara

Penggantungan sementara perkhidmatan turut berpunca daripada insiden kedua apabila sebuah tren dua gerabak terdampar antara stesen Imbi dan Bukit Bintang ekoran masalah teknikal.

KUALA LUMPUR: Sebuah tayar getah monorel empat gerabak terbakar di stesen Titiwangsa pagi ini menyebabkan perkhidmatan monorel di bandar raya ini digantung sementara mulai pukul 8.50 pagi.

Ketua Pegawai Operasi Rapid Rail Monorail Line, Abdul Hadi Amran berkata tiada sebarang penumpang di dalam tren itu semasa kejadian.

"Kebakaran dipadamkan Jabatan Bomba dan Penyelamat," katanya dalam satu kenyataan.

Kebakaran itu menyebabkan asap tebal menyelubungi stesen bertingkat berkenaan.

Penggantungan sementara perkhidmatan turut berpunca daripada insiden kedua apabila sebuah tren dua gerabak terdampar antara stesen Imbi dan Bukit Bintang ekoran masalah teknikal.

Tren penyelamat telah dihantar ke tempat kejadian dan menolak tren yang tersangkut itu ke stesen Imbi sebelum penumpang turun.

"Rapid Rail sedang melakukan siasatan dalaman atas kedua-dua insiden tersebut dan memohon maaf dengan kerumitan yang ditimbulkan," kata Abdul Hadi.

- Sumber: Bernama 

No comments:

Post a Comment