Monday, 30 March 2015

Cubaan penggodam profesional untuk ceroboh Sarawak Report

Portal berita Sarawak Report didakwa diserang penggodam profesional sejak 23 Mac lalu.

KUALA LUMPUR: Portal berita Sarawak Report mendakwa pihak mereka ‘diserang’ penggodam profesional pada 23 Mac lalu apabila beberapa laporan artikel dilaporkan lesap daripada laman itu.

Cubaan menggodam itu dikatakan bermula pada 10.37 pagi dan salah satu artikel di portal itu dikatakan hilang dari laman web selepas setengah jam.

“Penggodam ini begitu teliti apabila mereka menyembunyikan dan mengubah alamat IP mereka sebagai usaha untuk menyembunyikan lokasi mereka.

“Kedua-dua IP dihubungkan dengan pelayan proksi dan mereka yang menyamar diri mereka daripada Google, yang mana ia adalah helah agak mudah, menurut pakar-pakar web,” lapor Sarawak Report pada Ahad.

Antara artikel Sarawak Report yang ditarik balik penggodam adalah laporan mengenai Pengerusi Abu Dhabi’s Aabar Fund, Khadem al-Qubaisi yang dikatakan menerima USD $20 juta daripada Good Star Limited.

Sarawak Report mendakwa Good Star Limited yang dikawal hartawan Jho Low, merupakan sebuah syarikat yang menerima USD $700 juta daripada 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) .

Ia dikatakan sebagai sebuah transaksi 'pembayaran balik pinjaman' yang dibuat kononnya untuk syarikat PetroSaudi.

Sarawak Report sebelum ini pernah melaporkan beberapa artikel berkenaan isu kehilangan wang daripada dana 1MDB.

Laporan-laporan berkenaaan juga ada menyebut dan memaparkan beberapa gambar personaliti yang dikatakan terlibat di sebalik ‘misteri’ kehilangan duit dana itu, di mana antaranya adalah bintang Hollywood Paris Hilton.

Lantaran itu, Sarawak Report pada Ahad juga melaporkan pihak berdepan dengan penggantungan selepas “individu tidak didedahkan” membeli hak cipta gambar hartawan Jho Low berparti dengan beberapa orang selebriti.

“Bagi sesetengah nama-nama besar ini lebih merisaukan gambar-gambar yang kami paparkan di portal ini. Kami didesak untuk menarik balik dari memaparkan gambar-gambar yang sebenarnya merupakan beban bukti yang menyokong kepada artikel-artikel kami.

“Memandangkan artikel dan gambar merekodkan perbelanjaan besar oleh individu-individu tertentu, yang dikaitkan dengan kehilangan berbilion-bilion ringgit yang sepatutnya memberi manfaat kepada kawasan-kawasan miskin dan mundur di Malaysia, kami percaya ini demi kepentingan awam untuk melihat gambar-gambar ini,” lapor Sarawak Report.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment