Monday, 30 March 2015

Malaysia sasar hab teknologi hijau rantau Asean

Mahdzir Khalid

PUTRAJAYA - Malaysia sedang mengorak langkah untuk menjadi Hab Teknologi Hijau di rantau Asean menerusi pelaksanaan Dasar Teknologi Hijau Negara yang holistik dan berterusan.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerajaan kini berada pada landasan perancangan yang betul dalam pembangunan lestari dan kemajuan teknologi hijau.

"Sebagai bukti, laporan dwitahunan EPI (Indeks Prestasi Alam Sekitar) 2014 yang dihasilkan Yale University, menunjukkan Malaysia menduduki tangga ke-51 dari 178 negara.

"EPI ini mengukur kedudukan negara-negara dunia dalam pelaksanaan dasar berkaitan isu alam sekitar yang berfokus kepada perlindungan kesihatan manusia daripada bahaya alam sekitar dan perlindungan ekosistem," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif di sini.

Mahdzir berkata, di peringkat Asean pula Malaysia menduduki tangga ketiga iaitu selepas Singapura dan Brunei.

"Jelas, kedudukan ini masih perlu diperbaiki namun saya amat yakin sasaran kerajaan menjadikan Malaysia sebagai Hab Teknologi Hijau di rantau Asean dapat dicapai," katanya.

Beliau berkata, Malaysia bergerak lebih agresif untuk berubah ke arah penggunaan teknologi tinggi serta industri berasaskan pengetahuan intensif agar dapat kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Katanya kementerian sedang membuat perancangan pelaksanaan program dan projek yang menumpukan peningkatan sumbangan Teknologi Hijau kepada ekonomi, sosial dan alam sekitar dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

"Selain itu, Pelan Induk Teknologi Hijau Negara dan pelan Tindakan Mobiliti Elektrik juga telah disediakan dengan tujuan mengukuhkan semua inisiatif, program dan aktiviti yang akan dilaksanakan supaya menjadi lebih efektif dan sistematik," katanya.

Mahdzir berkata, di samping itu kementerian juga mengambil inisiatif menjalin kerjasama dengan beberapa negara seperti Korea Selatan dan Kemboja bagi mempelopori bidang teknologi hijau yang akan menyumbang kepada pembangunan hijau di rantau ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, sasaran Malaysia untuk menjadi Hab Teknologi Hijau di rantau Asean memerlukan masa dan usaha dilaksanakan secara berperingkat memandangkan bidang teknologi hijau masih baharu di negara ini sejak Dasar Teknologi Hijau Negara dilancarkan pada 2009.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, Teknologi Hijau yang merangkumi sektor ekonomi utama iaitu tenaga, bangunan, pengangkutan, pengurusan sisa dan air telah menyumbang sejumlah RM7.9 bilion atau 0.8 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2013.

"Pelaburan daripada teknologi hijau dari sektor-sektor tersebut sebanyak RM920 juta dan jumlah pendapatan yang direkodkan pula sebanyak RM33.1 bilion pada 2013," katanya.

Katanya berdasarkan kajian yang dijalankan kementerian, pembangunan teknologi hijau disasarkan dapat menyumbang RM22.4 bilion menjelang 2020 dan RM60 bilion pada 2030 kepada KDNK.

"Pelaburan dijangka meningkat kepada RM28 bilion dan RM86.3 bilion menjelang 2020 dan 2030 serta dapat mewujudkan 114,590 peluang pekerjaan pada 2020, dan pada 2030 pula terdapat sebanyak 211,500 peluang pekerjaan," katanya.

Sementara itu, tanpa menyatakan nama syarikat, Mahdzir berkata di Malaysia sudah ada beberapa syarikat tempatan, termasuk di Pahang dan Selangor, yang menghasilkan panel solar fotovoltan (PV) untuk pasaran tempatan dan dieksport ke negara luar.

"Ada syarikat tempatan juga mampu mengeluarkan panel solar PV ini untuk dieksport dan pasaran tempatan, selain syarikat asing yang ada di negara kita yang mengeluarkan panel solar ini. Sekarang kita... dari segi mengilang dan mengeluar solar panel ini, menduduki kedudukan tiga tangga teratas di dunia," katanya.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment