SEORANG demi seorang selebriti wanita tempatan berhijrah ke arah lebih baik. Termasuklah penyanyi yang juga pelakon kelahiran program realiti Akademi Fantasia (AF) ini.
Memilih untuk mengenakan tudung sejak ulang tahun kelahiran ke-30 Februari lalu, pemilik nama Lutfyah Sheikh Omar ini berkata, dia telah mengambil keputusan untuk mengehadkan karier seninya demi imej barunya itu.
Malah, dia juga nekad untuk tidak menyanyi lagi.
"Kerana itu rakaman lagu yang pernah dimuat naik di laman sosial You Tube sebelum ini telah dipadamkan," katanya.
Mengulas lanjut, pelakon kelahiran Johor Baharu ini turut mengurangkan aktiviti lakonan dan hanya memilih watak yang bersesuaian sahaja.
"Bila dah bertudung ni saya perlu lebih berhati-hati menerima skop kerja yang diberikan.
"Untuk tawaran yang mempunyai adegan bersentuhan terpaksa saya tolak dan lepaskan," katanya tetap akan turun padang melibatkan diri dengan kerja yang diterima sebelum bertudung.
Dalam pada itu, Lufya tidak menolak sekiranya mempunyai tawaran dalam bidang pengacara yang dirasakan lebih sesuai dengan personalitinya itu.
"Sekarang sedang mencari kerja-kerja yang lebih sesuai dengan personaliti bertudung, bagi saya mengacara adalah lebih mudah," katanya.
Berkongsi perasaannya juga, akui Lufya, walaupun pada awalnya dia pernah menangis memikirkan kejatuhannya dalam bidang seni kerana membuat keputusan untuk bertudung, namun dia tetap menguatkan hati.
"Perasaan takut kerana tuntutan agama membuatkan saya nekad dengan keputusan tersebut. Lagipun, soal rezeki di tangan ALLAH SWT dan itulah pesan ibu kepada saya," katanya ujian Tuhan kepadanya tahun lalu antara faktor dia berubah.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment