Thursday 22 January 2015

Polis jejak tiga lelaki kes jumpa mayat


Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Jaafar Mohd Yusof menunjukkan gambar empat lelaki warga Myanmar yang di cari bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki warga Myanmar ketika mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Negeri Sembilan di Seremban

SEREMBAN - Polis sedang mengesan tiga lelaki warga Myanmar bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki warga negara yang sama dipercayai dibunuh di kawasan sebuah kilang berhampiran Kampung Wong Sin Chow, Sikamat dekat sini Isnin lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Jaafar Mohd Yusof berkata polis mendapati, ketiga-tiga lelaki terbabit bekerja bersama mangsa di sebuah kilang yang sama di sana dan ketiga-tiganya menghilangkan diri setelah pengurus kilang menemui mayat mangsa yang telah busuk di kawasan belakang kilang.

"Kita percaya ketiga-tiga lelaki itu berkemungkinan melarikan diri ke Kuala Lumpur," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata polis masih sukar mengenal pasti identiti mangsa kerana keadaan mayatnya yang telah reput sehingga bahagian tangan dan kakinya hanya tinggal tulang manakala siasatan awal mendapati terdapat kesan tetakan di bahagian belakang kepala mangsa.

Keempat-empat lelaki Myanmar itu termasuk mangsa dikenal pasti sebagai Aung Kyaw, 33; Zaw Myo Tun, 23; Tual Lian Muang, 31 dan Sing Khup, 28 tetapi setakat ini pihaknya tidak pasti siapakah mangsa jenayah itu kerana keadaan mayat yang telah reput dan menyukarkan proses pengecaman, katanya. 

Beliau berharap ketiga-tiga lelaki warga Myanmar itu dapat ditahan segera supaya mereka boleh disoal siasat untuk memastikan apa sebenarnya berlaku di sebalik kes pembunuhan itu.

Mereka yang mengenali ketiga-tiga lelaki warga Myanmar itu diminta tampil menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai ditalian 06-7583222 atau balai polis berhampiran.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment