Thursday 22 January 2015

Jangan viralkan video Zamani, ia bukan tayangan hiburan - Rais

RAIS: Jangan viralkan video Zamani, ia bukan tayangan hiburan. -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Klip video penyanyi kumpulan Slam, Zamani atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim yang menyanyi ketika tangan bergari disifatkan bukan tayangan hiburan yang perlu disebar atau diviral di media sosial.

Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, individu yang merakam video itu juga disifatkan tidak menghormati suspek sekali gus melanggar budaya dan tata susila bermasyarakat.

"Sebenarnya perbuatan seperti itu tidak harus berlaku sebab seseorang yang disyaki melakukan salah laku seperti mengedar dadah tidak boleh disuruh membuat aksi yang mungkin dianggap jenaka kepada mereka.

"Itu jelas di dalam peraturan khidmat Polis DiRaja Malaysia (PDRM) atau pengawas penjara.

"Jadi seandainya sudah viral di media sosial, ia sebenarnya menjatuhkan imej penguasa sendiri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Rais mengulas video berdurasi 1 minit 21 saat yang menunjukkan penyanyi tersebut disuruh menyanyi lagu hitnya ‘Gerimis Mengundang’ dalam keadaan duduk dan tangan bergari.

Sungguhpun dalam keadaan sedemikian, penyanyi bersuara emas itu hanya menuruti permintaan 'peminat' tersebut.

Video itu turut mengundang pelbagai reaksi pengguna laman sosial sehingga ada yang simpati dengan nasib penyanyi berusia 43 tahun itu.

Dalam pada itu, Rais turut menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk mengenakan hukuman seberat-beratnya kepada individu yang merakam video itu.

Khalid di laman Twitternya memaklumkanakan menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap individu berkenaan.

Susulan itu, Polis Selangor dalam satu kenyataan hari ini berkata telah mengenal pasti pegawai terlibat yang bertanggungjawab merakam serta menyebarkan klip video itu.

Siasatan kini diteruskan bagi mengenal pasti pegawai dan anggota lain yang turut terlibat.

Rais merupakan bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan selain pernah menjadi anggota Parlimen Jelebu.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment