Tuesday 13 January 2015

Perlakuan gadis Melayu di luar jangkaan kami - penganjur konsert K-Pop


Barisan peguam penganjur konsert kumpulan K-Pop, B1A4, TGM Events, dari kiri Ahmad Fadzly, Stanley Edward dan Norazmi Norazman. - Gambar fail

Perlakuan peminat membabitkan gadis Melayu yang bertindak melampau dan melakukan aksi kurang menyenangkan semasa konsert kumpulan K-Pop B1A4 adalah di luar jangkaan penganjur.

Peguam firma Tetuan Azmi dan Fadzly, Ahmad Fadzly Abdul Gani memberitahu segmen yang direkodkan di dalam video dan gambar-gambar yang kini disebarkan di media bukanlah segmen yang dirancang oleh pihak penganjur.

"Pengacara acara tersebut telah memaklumkan kepada semua peserta dan artis bahawa mereka tidak boleh bersentuhan.

"Anak guam kami seterusnya menyatakan bahawa segmen tersebut adalah diluar kawalan pihak penganjur.

"Ianya juga adalah jelas dari video tersebut bahawa apa yang telah berlaku, berlaku dengan sukarela dan dengan izin peserta-peserta yang terlibat," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini hari ini.

Ahmad Fadzly yang mewakili penganjur konsert artis K-Pop, B1A4, TGM Events mengulas dakwaan pelbagai pihak yang mendakwa penganjur harus bertanggungjawab sepenuhnya di atas insiden itu juga memberitahu, setiap segmen pada hari berkenaan dikendalikan sepenuhnya pihak pengurusan artis Korea Selatan.

Katanya lagi, pihak-pihak berkenaan juga diminta tidak menunding jari kepada sesiapa dan juga memohon pihak-pihak untuk melihat video tersebut secara penuh sebelum membuat kesimpulan.

"Lihat keseluruhan dan bukannya keratan-keratan gambar ringkas yang diambil di luar konteks acara tersebut. 

"Pada hari berkenaan, terdapat empat gadis Melayu bertudung yang dimasukkan di dalam video itu manakala seorang gadis Korea tidak disertakan sekali di dalam video yang menjadi viral di media sosial kini," jelasnya.

Perbuatan anggota kumpulan B1A4 mencium gadis tempatan ketika membuat persembahan pentas KL Live pada Sabtu menjadi 'viral' di media sosial.

Video berdurasi lebih tiga minit yang memaparkan adegan cium itu turut dimuat naik di laman Facebook Sukan Star TV yang dirakam pada konsert tersebut.

Ia turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dengan menulis dalam akaun Twitternya: "Banyak dikatakan tentang K-Pop. Harap gadis-gadis Malaysia kembali kepada lelaki tall, dark and handsome. Bukan pale, skinny & pretty. Itu bukan lelaki sejati."

Dalam pada itu ujar Ahmad Fadzly, anak guamnya turut menyatakan tidak wujud sama sekali dakwaan-dakwaan pencabulan, ia merupakan agen Yahudi dan sebarang unsur Kristianiti di dalam acara tersebut.

"Kenyataan tersebut adalah tidak berasas dan tidak bermerit. Anak guam kami telahpun menerima nasihat guaman berkenaan dengan haknya di bawah undang-undang terhadap pihak-pihak yang membuat dakwaan tersebut.

"Kami juga telah menerima arahan dari anak guam kami untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak tersebut sekiranya dakwaan-dakwaan tersebut tidak ditarik balik," tegasnya.

Katanya lagi, penganjur juga bersetuju untuk bekerjasama dengan pihak–pihak berkuasa termasuk Jabatan Agama Islam (Jakim) sekiranya pihak-pihak tersebut memerlukan maklumat yang berkenaan dengan acara tersebut selain maklumat tersebut berada di dalam pengetahuan atau milikan penganjur sendiri.

"Acara tersebut telah dilangsungkan setelah mendapat kelulusan pihak-pihak berkuasa yang terlibat dan acara tersebut telah dilangsungkan selaras dengan garis panduan Agensi Pusat Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia," katanya.

Sebelum ini, penganjur acara itu memaklumkan di dalam laman Facebook mereka, peminat yang dipilih menaiki pentas dipilih secara rawak selain tidak mengetahui identiti peminat sehinggalah mereka di bawa ke atas pentas.

Penganjur turut memohon maaf dan berjanji akan mempertimbangkan implikasi budaya serta agama dalam hal interaksi antara peminat dan artis dalam acara akan datang.

Pada Isnin, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap penganjur konsert persembahan artis K-Pop, B1A4, berikutan perbuatan sumbang sewaktu acara hiburan itu berlangsung.

Tegasnya, perbuatan beberapa gadis Melayu bertudung dipeluk dan dicium oleh anggota artis K-Pop, B1A4, pada Sabtu lepas adalah sesuatu yang sangat memalukan rakyat Malaysia terutamanya umat Islam di negara ini.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment