Sunday 18 January 2015

Lelaki maut ditembak ketika minum di Petaling Jaya

AZMI: S. Suresh, 27, mati di tempat kejadian selepas terkena tembakan di bahagian kepala.

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mati ditembak ketika sedang minum di belakang sebuah rumah di Jalan PJS 5/18, Petaling Jaya, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Azmi Abu Kassim berkata dalam kejadian pada 12.15 malam itu, S. Suresh, 27, mati di tempat kejadian selepas terkena tembakan di bahagian kepala.

Katanya, ketika kejadian mangsa bersama tiga lelaki lain termasuk abangnya sedang minum, sebelum didatangi seorang suspek tidak dikenali yang menaiki sebuah kereta Hyundai Sonata.

Azmi berkata suspek berkenaan melepaskan beberapa das tembakan ke arah mereka dengan jarak dianggarkan lima meter sebelum melarikan diri.

"Mangsa yang tidak bekerja itu terkena satu daripada empat das tembakan yang dilepaskan suspek, di bahagian hadapan tepi kanan kepalanya lalu menembusi belakang kepala mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk dibedah siasat.

Motif kejadian masih disiasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment