Sunday, 18 January 2015

Isu K-Pop: Kenapa kata kita tidak beri kerjasama? - Peguam penganjur



AHMAD FADZLY: Tiada sebab Jawi mengeluarkan kenyataan berkenaan kerana kerjasama sepenuhnya sudah diberikan.

KUALA LUMPUR: Peguam penganjur konsert kontroversi artis K-Pop, B1A4, TGM Events menafikan kenyataan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bahawa mereka tidak memberi kerjasama dan membantu siasatan dalam isu berkenaan.

Peguam firma Tetuan Azmi dan Fadzly, Ahmad Fadzly Abdul Gani berkata, tiada sebab Jawi mengeluarkan kenyataan berkenaan kerana kerjasama sepenuhnya sudah diberikan kepada mereka semasa proses siasatan tempoh hari.

"Jawi kata mereka sedih kerana kita tidak memberikan kerjasama, kita juga sedih kerana dikatakan begitu sedangkan sudah memberi segala maklumat yang ada kepada mereka.

"Anak guam kami terkejut dengan kenyataan Jawi di akhbar yang menyatakan kami enggan bekerjasama. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, anak guam kami sedia memberikan kerjasama penuh dgn pihak berkuasa.

‎"Pihak Jawi ada menghubungi kami dan saya sendiri telah berjumpa dengan pegawai mereka di pejabat kami. Kami telah memberitahu mereka supaya menulis secara rasmi kepada kami atau anak guam kami untuk mendapat maklumat yang diperlukan," katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan kesedihan Timbalan Pengarah Jawi, Che Hussain Isa yang mendakwa penganjur memilih untuk membisu dan enggan mengulas mengenai isu berkenaan.

Sementara itu jelas Ahmad Fadzly, sehingga kini mereka atau penganjur masih belum menerima apa apa surat permintaan dari Jawi mengenai perkara itu.

Katanya, Jawi perlu mengeluarkan surat rasmi mengenai sebarang pertanyaan untuk mengelakkan salah faham selain mahu merekodkan setiap perbincangan secara bertulis.

"Kami nasihatkan anak guam untuk sentiasa bersedia dan memberi kerjasama selain sudah memaklumkan tidak mempunyai nama penuh gadis-gadis Melayu yang menaiki pentas pada hari berkenaan," jelasnya

Perbuatan anggota kumpulan B1A4 mencium gadis tempatan ketika membuat persembahan pentas KL Live pada minggu lepas menjadi 'viral' di media sosial.

Video berdurasi lebih tiga minit yang memaparkan adegan cium itu turut dimuat naik di laman Facebook Sukan Star TV yang dirakam pada konsert tersebut.

Perlakuan itu turut disifatkan berlaku di luar jangkaan penganjur.

Ia turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dengan menulis dalam akaun Twitternya: "Banyak dikatakan tentang K-Pop. Harap gadis-gadis Malaysia kembali kepada lelaki tall, dark and handsome. Bukan pale, skinny & pretty. Itu bukan lelaki sejati."

Dalam pada itu, Ahmad Fadzly memberitahu, pihaknya turut menyokong kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mahu pihak berkuasa agama mendidik remaja bertudung yang dipeluk oleh artis K-Pop berkenaan.

Shabery turut dilaporkan berkata, terdapat sesetengah perkara yang berlaku secara spontan dan sukar untuk dikawal apabila ia melibatkan penonton.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, Jawi akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap penganjur konsert berkenaan berikutan perbuatan sumbang sewaktu acara hiburan itu berlangsung.

Tegasnya, perbuatan beberapa gadis Melayu bertudung dipeluk dan dicium oleh anggota artis B1A4 adalah sesuatu yang sangat memalukan rakyat Malaysia terutamanya umat Islam di negara ini. 

- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment