Sunday 18 January 2015

ARD Technology perkenalkan 'Airboat' untuk kegunaan semasa banjir

Sebuah Airboat yang membawa lapan penumpang sedang menyusuri tasik di kawasan secetek 0.5 meter serta melepasi dahan pokok yang tumbang di permukaan air ketika melakukan demonstrasi di Tasik Biru Kundang

RAWANG: ARD Technology Corporation Sdn Bhd, sebuah syarikat pembinaan, pada Sabtu telah memperkenalkan bot udara (Airboat) yang boleh digunakan sebagai sebahagian daripada aset dalam operasi menyelamat semasa musim banjir.

Pengurus Kanannya Datuk Mohamed Saffian Omar berkata, Airboat yang dikeluarkan Valey Group berpangkalan di Australia itu, berkeupayaan merentasi kawasan paya, berlumpur dan melalui kawasan air pada paras rendah serta mampu untuk membawa muatan barangan seberat satu tan.

"Bot ini yang tiada enjin di bahagian bawah dan menggunakan enjin V8 dengan 450 kuasa kuda tanpa sistem elektronik, dilihat lebih praktikal kerana rekaannya dan ia juga boleh meredah kawasan berair serendah setengah meter dan melalui kawasan yang berdahan.

"Kita tahu kalau musim banjir adakalanya kita kena melalui kawasan yang airnya tinggi dan rendah, adakalanya melalui kawasan perkampungan kerana itu ia direka dengan rekaan yang lebih fleksibel dan tidak mudah terbalik sekaligus mengurangkan risiko bot tersangkut dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas demonstrasi penggunaan Airboat kepada wakil Kementerian Pertahanan di Tasik Biru Kundang dekat sini.

Mohamed Saffian berkata bot yang mempunyai kelajuan maksimum 75km-sejam, mampu membawa 10 hingga 12 orang termasuk dua orang pemandu dalam satu masa selain kerusinya boleh ditanggalkan sekiranya perlu membawa muatan.

"Bot ini juga boleh beroperasi di kawasan daratan mengikut keperluan memandangkan reka bentuknya yang leper pada permukaan yang dilapisi Teflon yang tahan manakala di bahagian badan bot terdapat tiga lapisan yang direka khas agar ia tidak mudah koyak," katanya.

Katanya teknologi serta reka bentuk bot berkenaan telah digunakan di Australia sejak 24 tahun yang lalu dan ia bukan sahaja dijadikan sebagai aset dalam operasi menyelamat tetapi juga digunakan untuk tujuan pelancongan.

Mohamed Saffian berkata bot berkenaan juga pernah dipandu uji di Sungai Temerloh bersama wakil dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment