Thursday 15 January 2015

Kerajaan tidak larang bukan Islam berbaju kurung

  • Muhyiddin Yassin
  • Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan menegaskan tiada sebarang arahan kepada mana-mana pihak pentadbiran sekolah untuk menyekat atau menghalang pelajar perempuan bukan Melayu memakai baju kurung sebagai seragam sekolah.

Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kementerian dengan itu mengarahkan setiap sekolah untuk tidak membuat peraturan yang tidak selari dengan dasar kementerian.

"Bagi saya ia suatu perkara (pemakaian baju kurung) yang digalakkan sama ada pelajar Melayu Islam atau bukan Islam sebab itu sudah sebagai pakaian kebangsaan. Bagi sekolah kita tidak ada keluarkan arahan cuma bagi sesetengah sekolah ada peraturan dia sendiri.

"Jadi saya fikir itu tidak betul dan perlu diperbetulkan semula. Kementerian akan minta pihak sekolah perbetulkan semula kerana sebab isu yang sedikit itu sudah menimbulkan tanggapan soal-soal perkauman sedangkan ia bukan isu perkauman," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampong Bharu (PITPKB) di sini, semalam.

Muhyiddin mengulas isu seorang pelajar perempuan bukan Melayu di sebuah sekolah di ibu negara yang dilarang memakai baju kurung sebagai seragam sekolah seperti yang dilaporkan media semalam.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, perkara itu berbangkit kerana di sekolah itu terdapat arahan yang dibuat tidak selari dengan dasar kementerian.

"Jadi kita akan buat langkah memperbetulkannya dan pihak sekolah itu atau sekolah-sekolah lain jangan mengenakan peraturan yang tidak disuruh oleh pihak kementerian atau yang boleh menimbulkan masalah lain.

"Kita tidak mahu membicarakan soal-soal yang seolah-olah perkauman. Ini mungkin timbul lebih kepada salah faham ataupun sekolah itu ada peraturan yang tidak selari dengan kementerian. Tapi kita boleh perbetulkan," kata beliau.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment