Wednesday, 20 August 2014

"Dia nak rogol...dia nak bunuh saya"

Keadaan mangsa selepas dihentak dan dibelasah suspek sebelum ditemui orang awam di tepi jambatan berdekatan Taman Mas.
Keadaan mangsa selepas dihentak dan dibelasah suspek sebelum ditemui orang awam di tepi jambatan berdekatan Taman Mas.

PUCHONG - "Kak tolong saya...saya hampir nak dirogol...laki tu nak bunuh saya...tolong saya kak."

Rayu seorang wanita dalam keadaan berlumuran darah, di tepi jambatan Taman Mas menghubungkan Kampung Seri Aman, Puchong dengan Bandar Saujana Putra di sini, petang semalam.

Wanita Indonesia berusia 32 tahun itu memberitahu kejadian berlaku ketika dia menunggu bas di hentian Taman Putra Perdana untuk pulang ke rumah setelah tamat waktu bekerja jam 3 petang.

Selepas beberapa minit menunggu bas, mangsa yang mahu dikenali sebagai Yusma berkata, tiba-tiba dia didatangi seorang penunggang motosikal yang mempelawa untuk menghantarnya pulang ke rumah.

Mulanya mangsa enggan menerima pelawaan tersebut namun berubah fikiran selepas melihat wajah lelaki itu yang kelihatan baik dan seperti berniat ikhlas.

Yusma berkata, dia bagaimanapun mula rasa risau apabila motosikal dibonceng bukan menghala ke rumahnya sebaliknya ke laluan tak pernah dilaluinya.

"Masa itu saya cuba untuk turun dari motosikal tapi lelaki itu menunggang dengan laju dan hanya berhenti di tepi jambatan yang sunyi. Saya cakap kat dia kalau nak ambil rantai leher ambillah tapi dia bukan saja menyentap barang kemas dipakai tetapi turut menghentak muka dan tangan saya beberapa kali menggunakan topi keledar,” katanya.

Menurut Yusma, lelaki itu tidak terus melepaskannya sebaliknya meluru ke arahnya dan beberapa kali mengatakan hendak merogol dan membunuhnya.

Akibat terlalu takut Yusma berlari untuk menyelamatkan diri namun lelaki itu terus mengejarnya.

“Lelaki itu memukul saya lagi beberapa kali dan cuba untuk merogol saya, ketika itu saya gagahkan diri untuk bangun, menendang kemaluannya menyebabkan dia terjatuh sebelum terus bersembunyi di sebalik kawasan semak.

“Dari celah-celah rimbunan rumput, saya nampak lelaki itu cuba mencari saya namun beredar beberapa minit kemudian,” katanya.

Dia yang mengalami kecederaan serius di muka dan tangan kemudian diselamatkan orang awam yang melalui jalan itu sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. - Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment