Wednesday 20 August 2014

Profil bekas CEO MRT Corp, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid

Azhar merupakan seorang akauntan bertauliah serta ahli Fellow Persatuan Akauntan Bertauliah di United Kingdom

KUALA LUMPUR: Datuk Wira Azhar Abdul Hamid, 51 tahun, sebelum meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan di Sime Darby Plantation Sdn Bhd.

Pada masa yang sama, beliau merupakan Pengarah Bahagian Perladangan dan Bahagian Makanan Sime Darby Bhd.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Persatuan Minyak Sawit Malaysia, ahli Lembaga Minyak Sawit Malaysia serta ahli Majlis Minyak Sawit Malaysia.

Beliau juga seorang akauntan bertauliah serta merupakan ahli Fellow Persatuan Akauntan Bertauliah di United Kingdom dan ahli Institut Akauntan Malaysia.

Azhar juga adalah pemegang saham dan pengasas Chelsea Capital Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat pegangan pelaburan dan khidmat nasihat korporat yang memberi tumpuan kepada sektor minyak sawit, hartanah dan industri makanan.

Azhar telah dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp pada 1 September 2011 berikutan keputusan kerajaan untuk menubuhkan syarikat untuk mengambil alih pemilikan dan pembangunan Projek MRT Lembah Klang dari Syarikat Prasarana Malaysia Bhd.

Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Azhar memperkenalkan konsep perjanjian bersama dengan pemilik tanah yang terjejas oleh Projek MRT.

Perjanjian bersama yang ditandatangani dengan pemilik tanah membenarkan tanah untuk tidak diambil secara wajib oleh kerajaan serta membolehkan tanah persendirian diwujudkan bersama-sama dengan penjajaran MRT.

Selain menyelesaikan isu tanah, langkah itu telah berjaya mengurangkan jumlah pampasan yang dibayar kerajaan kira-kira RM1.5 bilion.

Azhar juga sentiasa menekankan keperluan untuk meningkatkan keselamatan dalam industri pembinaan dan telah secara peribadi berusaha untuk membina mekanisme untuk mencapai matlamat ini.

Azhar turut mewujudkan Sistem Prestasi Penilaian Kontraktor (CONPAS) di mana penilaian ciri keselamatan, kesihatan dan alam sekitar projek oleh seseorang kontraktor akan dikira dan menyenaraihitamkan kontraktor yang melanggar prosedur keselamatan.

No comments:

Post a Comment