Monday 11 August 2014

Mangsa tetak meninggal dunia

Keluarga Allahyarham Amran (gambar) inginkan keadilan dan pembelaan di atas kematiannya.
Keluarga Allahyarham Amran (gambar) inginkan keadilan dan pembelaan di atas kematiannya.

KLANG - Hampir sembilan hari ditetak di sebuah cyber cafe, mangsa akhirnya menghembuskan nafas terakhir, semalam di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini.

Mangsa yang dikenali Amran Amri, 30, anak ketiga daripada tujuh beradik itu meninggal dunia sekitar jam 2.30 petang di samping ibu bapa, adik beradik dan saudara maranya.

Adik mangsa yang dikenali sebagai Nick berkata, jenazah abangnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Delik selepas selesai urusan bedah siasat.

Dalam pada itu, Nick berkata, Allahyarham seorang yang pendiam dan aktif dalam sukan futsal.

“Sebelum ini dia pernah meluahkan hasrat kepada keluarga berkenaan niatnya untuk mengahwini seorang gadis Tawau, Sabah yang juga sekampung dengan mereka.

“Dia dalam perancangan untuk perkenalkan gadis itu kepada ibu bapa dan keluarga kami. Tapi hasratnya tidak kesampaian sebaliknya kami menerima berita kematian arwah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pekarangan HTAR, di sini semalam.

Dalam kejadian Khamis minggu lalu, mangsa bersama lima lagi lelaki berusia antara 15 hingga 30 tahun cedera parah akibat ditetak disyaki 10 lelaki ketika sedang bermain permainan online di salah sebuah pusat siber di Taman Bayu Perdana.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, empat mangsa dilaporkan parah manakala dua lagi stabil dan kesemua mereka dikejar ke HTAR bagi rawatan lanjut.

Sementara itu, abang mangsa, Mohd Amin Amri, 32, berkata, adiknya yang masih bujang dan bekerja sebagai juruteknik itu berada dalam koma sepanjang dia dirawat sehingga meninggal dunia semalam.

“Dia tidak menunjukkan sebarang tindak balas sehinggalah doktor memaklumkan adik saya mengalami kerosakan di bahagian otak. Kami dimaklumkan berlaku kes kesilapan teknikal apabila pihak berkenaan memasukkan saluran oksigen ke bahagian saluran pemakanan.

“Kesilapan itu menyebabkan berlaku bengkak di bahagian otak adik saya dan disebabkan itu otaknya gagal menerima oksigen,” dakwanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, arwah adik gagal menerima oksigen dan berlaku gangguan pernafasan.

“Perkara ini dimaklumkan sendiri pihak yang bertugas. Arwah mengalami kerosakan itu pada hari keempat dia dimasukkan ke ICU. Kami sekeluarga inginkan penjelasan dan kami diberi tempoh dua minggu. Dua minggu adalah tempoh yang lama, kami inginkan keadilan ke atas adik kami,” katanya.

Katanya, jika benar ia kecuaian pihak hospital, mereka harus bertanggungjawab kerana ia berkaitan dengan nyawa.

“Saya tidak mahu perkara menimpa adik saya akan berulang kepada orang lain. Malah pihak berkenaan harus berhati-hati dalam melaksanakan tugas dan tidak mengambil remeh berkenaan perkara ini,” katanya.


Beliau yang berasal dari Tawau, Sabah berkata, pihak polis juga diharap memaklumkan kepada mereka sekeluarga berkenaan perkembangan terkini kes membabitkan adiknya dan lima lagi lelaki Sabah.

“Kami harap pihak bertanggungjawab yang menetak adik saya dan lima lagi lelaki dibawa ke muka pengadilan,” katanya. - Sinar Harian, 10 Ogos 2014.

No comments:

Post a Comment