Monday 11 August 2014

Negara akan bertafakur seminit di Hari Berkabung Kebangsaan - Hisham

Negara akan bertafakur seminit di Hari Berkabung Kebangsaan - Hisham

KUALA LUMPUR: Malaysia akan bertafakur selama seminit sejurus ketibaan mayat mangsa nahas pesawat MH17 di tanah air nanti.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata, perkara itu satu daripada cadangan aturcara majlis bersempena Hari Berkabung Kebangsaan yang akan ditetapkan tarikhnya oleh kabinet nanti.

Hishammuddin berkata, cadangan awal itu menerima maklum balas positif daripada beberapa pihak dan akan dibentangkan kepada kabinet Rabu ini.

Beliau menambah, sesi bertafakur itu mungkin akan mengambil masa lebih lama berbanding kebiasaan istiadat tersebut.

“Saya percaya kalau sekiranya idea itu mendapat sambutan yang baik daripada seluruh rakyat Malaysia, tidak kira warna kulit, agama, kaya, miskin, berada di sekolah atau di kilang, sama ada ahli anggota tentera, polis memberi penghormatan kepada jenazah-jenazah yang akan tiba ke bumi kita ini. Sedikit sebanyak saya rasa apa yang kita anggap mustahil itu boleh dilakukan. InsyaAllah,” jelas Hisham.

Tambah Hishammuddin lagi, beliau akan berbincang dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Isnin yang bertanggungjawab menyusun atur majlis penghormatan terakhir.

Pada masa sama,Hishammuddin menegaskan idea tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis. - Astro Awani

No comments:

Post a Comment