Monday, 11 August 2014

Cadangan daftar pengguna Facebook tidak bijak

Khaireel Azlee berkata komuniti media sosial perlu pantau kandungan di Facebook. -Sumber: Google/Khaireel Azlee

KUALA LUMPUR: Cadangan agar semua pemilik akaun laman sosial Facebook berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) merupakan satu langkah yang mustahil dan tidak bijak, menurut seorang pakar IT. 

Presiden Gerakan Belia Teknologi Informasi (ITYM), Khaireel Azlee Abdul Aziz berkata cadangan tersebut adalah tidak wajar kerana MCMC harus menguruskan 15.4 juta pengguna Facebook di Malaysia.

“Walaupun mereka mendaftar, namun terdapat cara lain untuk mereka lolos dari sistem ini seperti menggunakan Facebook di negara lain. 

"Tambah lagi, kajian masih dijalankan untuk menentukan jika benar penyebaran fitnah lebih banyak berbanding penggunaan yang baik seperti melakukan perniagaan atau penyebaran ilmu di Facebook," kata Khaireel Azlee.

Beliau berkata jika Facebook disekat di Malaysia, negara ini perlu mewujudkan satu rangkaian media sosial yang sama seperti Facebook.

“Kalau Facebook disekat, ia tetap akan menyusahkan. ‘Facebook versi Malaysia’ akan menjadi lambat berbanding Facebook dari Amerika Syarikat,” katanya.

Cadangan Khaireel Azlee adalah agar komuniti media sosial memainkan peranan yang penting jika terdapat kandangun yang berunsur fitnah, penghinaan atau lucah di media sosial.

“Mereka harus membuat laporan. Ia perlu digerakkan oleh komuniti itu tersendiri,” katanya.

Ditanya mengenai cadangan mewujudan undang-undang seperti Anti-Ungkapan Kebencian, beliau berkata ia agak susah untuk tentukan penggunaan bahasa pengguna media sosial.

“Ada yang akan menggunakan bahasa yang sopan tetapi ada juga yang akan menggunakan bahasa yang kurang sopan. Ia seperti perbualan kedai kopi. Ia agak susah untuk tentukan penggunaan bahasa komuniti media sosial,” tambah beliau.

Terdahulu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Mohamad Md Yusoff mencadangkan agar pemilik akaun Facebook berdaftar dengan MCMC supaya pemilik akaun tidak sewenang-wenangnya menyalahgunakan laman sosial.

"Sekarang ini, bila berlaku kes seperti menghina (Yang di-Pertuan) Agong, mempersenda agama, fitnah dan sebagainya di Facebook, kita susah nak jejaki siapa yang melakukannya, lepas itu ada pula alasan kena godam, akaun palsu dan server daripada luar," katanya kepadaBernama.

Baru-baru ini tindakan individu yang menghina Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di laman Facebook oleh pemilik akaun 'Chandra Lawan Tetap Lawan' mendapat kecaman orang ramai dan sehingga kini MCMC sedang bekerjasama dengan polis bagi menjejaki individu itu. - Astro Awani

No comments:

Post a Comment