Monday, 11 August 2014

Bekas Setiausaha Politik Selangor umum keluar PKR

Bekas Setiausaha Politik Selangor umum keluar PKR - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Bekas setiausaha politik Menteri Besar Selangor, Faekah Hussin hari ini mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuat kuasa serta merta kerana hilang kepercayaan terhadap parti berkenaan.

Faekah dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama hari ini, menyifatkan parti yang didukungnya sejak tahun 1999 itu juga dilihat lari daripada landasan asal penubuhannya.

Katanya, prinsip parti yang diperjuangkan pucuk pimpinan selama ini gagal dipatuhi terutamanya dalam menangani isu berbangkit dan kedudukan jawatan Menteri Besar Selangor mengikut tatacara yang betul.

"Perjuangan parti ini telah lari dari landasan asal akibat nafsu pemimpin yang gagal mematuhi adab dan adat dalam memimpin sebuah kerajaan.

"Oleh itu, adalah lebih baik bagi saya meninggalkan parti kerana tiada apa-apa lagi yang boleh saya harapkan darinya," katanya dalam SMS tersebut.

Faekah, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI) menghantar surat keluar parti itu kepada Ibu Pejabat PKR.

Menurut surat berkenaan, Faekah menganggap tindakan yang diambil pemimpin parti ke atas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terpesong daripada nilai keadilan yang diperjuangkan PKR. - Bernama

No comments:

Post a Comment