Thursday, 10 April 2014

MH370: Siapa yang bertanggungjawab?

Azrai Izet dan isterinya, Fadzilah Abd. Rahim

Azrai Izet, suami kepada seorang penumpang MH370, menulis kepada Astro AWANI meluahkan suara hatinya berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines itu.

_______________________________

Terdapat kekaburan dari segi tanggungjawab terhadap keseluruhan kejadian. Secara am, pihak mana yang seharusnya rasa bertanggungjawab terhadap keseluruhan kejadian?

Secara spesifik, siapa yang bertanggungjawab terhadap perkara-perkara berikut:

1. Siapakah yang bertanggungjawab terhadap keselamatan penumpang dan pesawat?

2. Siapakah yang bertanggungjawab terhadap keselamatan industri penerbangan negara?

3. Siapakah yang bertanggungjawab terhadap keselamatan ruang udara negara?

Setakat ini kita dapat melihat tiada pihak yang bersungguh-sungguh menyatakan rasa tanggungjawab terhadap mana-mana perkara.

Yang ada hanyalah penafian.

1. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyatakan mereka tidak bertanggunjawab terhadap keselamatan pesawat awam yang terbang dalam ruang udara negara.

2. Tiada pihak rasa bertanggungjawab mengapa tiada kerjasama antara Pusat Kawalan Udara (ATC) penerbangan awam and ATM untuk mengesahkan status pesawat yang berpatah balik.

3. Tiada pihak rasa bertanggungjawab apabila Panglima Angkatan Tentera menyatakan mereka menyedari pesawat dikesan radar melalui ulang tayang rakaman radar, hanya setelah empat hari kejadian berlaku.

4. Tiada pihak rasa bertanggungjawab apabila dua penumpang menggunakan pasport palsu berjaya membolosi imigresen.

Menerusi sidang media yang kerap dikendalikan pada awal kejadian, rakyat Malaysia dapat melihat dengan jelas bahawa semangat yang ditunjukkan lebih kepada penafian tanggungjawab dan liabiliti, bukanlah perkongian maklumat ikhlas untuk menyelesaikan masalah yang ada.

Kerap kali kita dengar bahawa maklumat yang diminta adalah 'rahsia keselamatan negara' atau 'tidak boleh didedahkan kerana masih dalam siasatan dan boleh menjejaskan pendakwaan'.


Kebenaran yang hakiki

Di sebalik persoalan di manakah penumpang dan krew pesawat, rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui kebenaran yang mutlak terhadap perincian kepada apa yang telah terjadi. Walau berapa lama dan walau berapa kos, kita harus mendapatkan jawapan tersebut.

Tanpa jawapan tersebut, tiada jaminan peristiwa ini tidak akan berulang di masa depan. Jika harga 239 nyawa dan keluarga mereka tidak cukup, apakah jumlah nyawa yang cukup untuk kita mendapatkan jawapan tersebut?

Adakah setelah berulang sekali atau dua kali lagi peristiwa yang sama?

Atas harga 239 nyawa dan kesan terhadap keluarga yang terlibat, apakah pengajaran yang dapat kita ambil?

Saya pasti rakyat Malaysia tidak mahu 239 ini terkorban sia-sia tanpa sebarang pengajaran. Kita mahu kepastian bahawa peristiwa ini tidak akan berulang lagi kepada orang lain.

1. Apakah pembaharuan yang perlu dari segi keselamatan pesawat dan penumpang?

2. Apakah pembaharuan dari segi keselamatan industri penerbangan negara?

3. Apakah pembaharuan dari segi keselamatan ruang udara negara untuk penerbangan awam? Apakah aset ketenteraan tidak dapat digunakan untuk menjamin keselamatan awam?

4. Apakah pembaharuan kepada pelan bertindak sekiranya peristiwa yang sama berulang?


Keperluan keluarga mangsa

Seringkali kenyataan yang rakyat Malaysia dengar adalah MAS akan menjaga kebajikan keluarga mangsa. Namun kebajikan yang MAS berikan adalah berbentuk memujuk dan menenangkan keluarga. Hakikatnya keluarga hanya inginkan dua perkara pada peringkat ini:

1. Keselamatan penumpang dan krew

2. Mengetahui kebenaran mutlak terhadap apa yang telah terjadi serta segala perinciannya.


_____________________
Azrai Izet ialah suami kepada Fadzilah Abd. Rahim, penumpang penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing yang hilang sejak 8 Mac lalu.

* Tulisan ini telah disiarkan di  Astro AWANI pada 9 April 2014

No comments:

Post a Comment