Thursday, 10 April 2014

Pesawat peribadi pertama Presiden Indonesia tiba di Jakarta hari ini

Susilo Bambang Yudhoyono


JAKARTA: Setelah beberapa kali tertangguh, dan hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi beliau akan berundur daripada jawatan, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono, yang baru-baru ini dikritik kerana menggunakan kemudahan milik negara ketika berkempen untuk partinya, Parti Demokratik, akhirnya berpeluang menggunakan pesawat peribadi presiden pertama negara itu.

Sepanjang lebih sembilan tahun menjadi presiden, Susilo dan rombongan beliau menggunakan pesawat jet yang dipajak daripada syarikat penerbangan kebangsaan, Garuda Indonesia.

Pesawat baharu itu, Boeing Business Jet (BBJ2), akan dipertontonkan kepada umum pada Khamis dalam satu majlis khas di Pangkalan Tentera Udara Halim Perdanakusuma di sini.

Menurut laporan Jakarta Post pada Rabu, pesawat mewah itu berharga US$91.21 juta (RM294 juta).
Selepas upacara itu, pesawat berkenaan akan beroperasi sepenuhnya untuk membawa presiden dalam lawatan rasmi beliau ke seluruh negara dan seberang laut. Susilo dijangka menggunakannya untuk kali pertama dalam lawatan ke Myanmar pada Mei untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean Ke-24. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment