Thursday, 10 April 2014

Serah kotak hitam kepada yang cekap dan bersih, kata Kapten Nik Huzlan

Black box
Kotak hitam  yang merakam suara dan data penerbangan - Gambar Fail



Kotak hitam pesawat penerbangan MH370, sekiranya ditemui kelak, harus diserahkan untuk siasatan kepada pihak yang boleh dipercayai dan cekap untuk melakukan analisis ke atas perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan itu.

Bekas juruterbang kanan Malaysia Airlines (MAS), Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata siasatan itu juga perlu dilakukan oleh pihak yang bebas dan bukan di kalangan mereka yang berkepentingan dengan siasatan tersebut.

"Pencarian MH370 mungkin berakhir. Sekiranya kotak hitam itu ditemui adalah menjadi kepentingan semua pihak, ia disiasat oleh pihak yang boleh kita percayai, yang cekap, yang boleh berkomunikasi dengan baik, neutral dan bukan pihak yang berkepentingan.

"Mendapatkan semula (kotak hitam), mengeluarkan datanya dan menganalisis data itu harus dilakukan dengan bersih dan tidak terjejas dengan penglibatan mereka yang tidak tahu apa-apa," katanya dalam satu komentar di jaringan sosial Facebook hari ini.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam satu wawancara dengan The Straits Times pada Selasa berkata secara peribadi beliau tidak kisah sama ada siasatan itu dilakukan di Perth atau Kuala Lumpur.

"Secara peribadi, saya hanya mahukan kebenaran. Saya mahu tahu apa yang terjadi pada MH370. Tidak kisah bagaimana atau siapa atau di mana," katanya.

Pesawat Boeing 777-200 itu didaftarkan di Malaysia dengan pendaftaran 9M-MRO atas milik MAS. Di bawah Konvensyen Antarabangsa Penerbangan Awam (ICAO), Malaysia sebagai negara asal pesawat hendaklah melancarkan siasatan dan mendapatkan semula bangkai pesawat.

Malaysia bagaimanapun telah meminta bantuan Australia untuk mengetuai usaha mengesan pesawat berkenaan yang dipercayai kini berada di selatan Lautan Hindi.

"Di bawah ICAO, kita ada tanggungjawab untuk mencari kotak hitam. Tetapi ada cabaran diplomatik kerana ia melibatkan 14 negara," kata Hishammuddin, merujuk kepada kewarganegaraan 239 orang penumpang dan anak kapal.

Malaysia minggu lalu membentuk tiga jawatankuasa siasatan merangkumi hal ehwal waris, ketenteraan dan aspek teknikal usaha mencari MH370.

Jawatankuasa ini disertai oleh pakar dari agensi pengangkutan dan penerbangan dari Amerika Syarikat, Perancis, Britai dan China.

Pesawat penerbangan MH370 yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur dan Beijing hilang kira-kira satu jam setelah lepas landas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 pagi 8 Mac yang lalu.

Siasatan awal mendapati sistem komunikasi pesawat telah dimatikan dengan sengaja dan pesawat berkenaan berpatah balik dari laluan asalnya.

Setelah usaha mencari dipergiatkan di Laut China Selatan dan kemudian beralih ke Lautan Hindi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Mac lepas mengumumkan pesawat itu "berakhir" di selatan Lautan Hindi — kawasan yang terpencil dan tidak ada tapak mendarat.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment