Thursday, 10 April 2014

Penculik tuntut tebusan RM36.4 juta untuk bebaskan wanita


Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi



KUALA LUMPUR: Penculik dua orang wanita di Resort Singamata, Semporna, Sabah, telah menuntut wang tebusan sebanyak RM36.4 juta untuk membebaskan tebusan.

Menurut laporan The Star, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya telah menerima nota daripada kumpulan penculik tersebut mengenai tuntutan wang tebusan itu.

Namun, Ahmad Zahid telah berkata wang tebusan itu hanyalah untuk salah seorang wanita yang diculik, iaitu pelajar dari China, Gao Hua Yuan, 29.

Seorang wanita Filipina Marcy Dayawan, 40, yang merupakan pekerja Resort itu turut diculik di dalam kejadian malang itu.

Ahmad Zahid berkata pihaknya telah menghantar satu pasukan untuk berunding dengan ‘orang tengah’ yang terbabit dengan perkara itu.

Pada 2 April, tujuh lelaki telah menyerbu Resort itu sebelum menculik dua wanita itu.

Tiga dari suspek tersebut – seorang daripadanya mengenakan topeng muka telah naik ke resort tersebut manakala empat yang lain menanti di dalam bot.

Suspek mengarahkan seorang pekerja di situ yang sedang menonton TV di sebuah bilik supaya mendiamkan diri dan tidak melakukan apa-apa namun disebabkan ketakutan, pekerja tersebut telah bertindak terjun ke dalam laut demi mengelakkan diri dari diapa-apakan oleh penjenayah tersebut.

Mereka kemudian telah membawa lari kedua wanita itu.

Ekoran itu, pihak polis telah menahan empat orang untuk disoal siasat dan membantu penyiasatan.

Semporna adalah sebuah bandar di pantai timur Sabah, yang dilindungi di bawah Timur Zon Keselamatan Sabah ( ESSZONE ) yang ditubuhkan berikutan pencerobohan Lahad Datu oleh lelaki bersenjata Sulu pada Februari tahun lepas.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment