Thursday 10 April 2014

Hanya pengguna tertentu lepas catuan air

Syabas

KUALA LUMPUR - Pengecualian catuan air hanya diberikan kepada pengguna yang mendapat kelulusan dari Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sahaja.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam kenyataan hari ini berkata, berkata golongan yang tidak terlibat dengan catuan bekalan air itu telah disenaraikan semula ialah pusat dailisis, hospital kerajaan dan swasta, Pelabuhan Klang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Selain itu, pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya, pusatpentadbiran kerajaan negeri Selangor, pusat bandaraya Kuala Lumpur dan Stesyen Janakuasa Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Kapar turut tersenarai dalam kategori pengguna yang dikecualikan dari catuan air.

Kenyataan itu juga berkata pengguna di kawasan Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang juga tidak terlibat dengan pelan catuan bekalan air peringkat pertama kerana mereka tidak menerima bekalan air dari Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi yang tercemar akibat kandungan ammonia dalam Sungai Langat.

"Walaupun mereka tinggal berhampiran dengan pengguna yang menerima bekalan air dari kedua-dua loji itu namun saluran bekalan air terawat bagi kawasan itu bukanlah dari sumber Sungai Langat," katanya.

Begitu juga bagi sesetengah pengguna kawasan Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang yang tidak menerima bekalan air dari sumber air mentah dari empangan Sungai Selangor dan empangan Klang Gates turut tidak terlibat dengan pelan catuan peringkat ketiga dan keempat.

Pelan catuan air masih diteruskan atas arahan kerajaan Negeri Selangor dengan kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) walaupun hujan telah turun di kebanyakan kawasan.

"Pihak Syabas berkeyakinan bahawa keputusan yang dibuat itu tertakluk kepada keadaan takungan di empangan dan juga kadar pencemaran di Sungai Langat di mana paras kandungan ammonia masih tidak menentu," kata kenyataan itu.

Untuk maklumat dan keterangan lanjut berkenaan pelan catuan bekalan air, pengguna boleh melayari laman web Syabas www.syabas.com.my. - Bernama

No comments:

Post a Comment