Thursday 10 April 2014

Pelan Catuan Air di Selangor, KL dan Putrajaya masih diteruskan


KUALA LUMPUR: Tiada sebarang perubahan dalam jadual catuan bekalan air di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga keputusan memansuhkannya dikeluarkan kerajaan Selangor dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) memaklumkan perkara berkenaan ekoran kekeliruan yang timbul ekoran kenyataan berkaitan kelonggaran pelaksanaan pelan-pelan catuan bekalan air yang sedang dilaksanakan pada masa ini.

Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Awam SYABAS, Priscilla Alfred berkata kelonggaran itu merujuk beberapa kawasan catuan mendapat bekalan air seperti biasa disebabkan adanya pengeluaran air tambahan dari loji-loji rawatan air yang terlibat.

"Ini berikutan berlaku sedikit peningkatan paras air Sungai Selangor dan Sungai Langat hasil daripada hujan lebat yang turun kebelakangan ini.

"Pengeluaran tambahan inilah diagihkan ke kawasan-kawasan yang sedang mengalami catuan secara bergilir-gilir mengikut kawasan.

"Ini bermakna akan ada kawasan yang sepatutnya dalam jadual catuan tetapi kekal menerima bekalan air sekurang-kurangnya untuk satu hari atau lebih. Walau bagaimanapun, situasi ini adalah sementara," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Katanya, sehingga hari ini, LRA Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi masih lagi beroperasi sejak ianya dibuka semula pada 30 Mac lalu.

Namun jelas beliau operasi kedua-dua loji rawatan air tersebut terus terdedah kepada risiko paras kandungan ammonia di dalam Sungai Langat yang masih belum dapat dipastikan ianya kekal rendah. 

Sementara itu, Priscilla berkata hujan yang turun di sekitar kawasan Sungai Selangor sejak beberapa hari lalu telah meningkatkan sedikit aliran sungai.

"Kesempatan ini diambil oleh kelima-lima loji-loji rawatan air yang berkenaan untuk menambah sedikit pengeluaran masing-masing walaupun berdasarkan kepada maklumbalas dari Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) paras simpanan air empangan Sungai Selangor masih rendah dan kritikal dan pengurangan pelepasan air masih dikawal dan diteruskan oleh Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH)," katanya.

Justeru beliau menasihatkan pengguna di kawasan yang terlibat supaya sentiasa bersedia menghadapi catuan bekalan air seperti yang dijadualkan sekiranya bekalan air tambahan ini tidak lagi dibekalkan oleh loji-loji berkenaan.

Astro Awani

No comments:

Post a Comment