Wednesday 9 April 2014

Sindiket menyamar polis tumpas

JOHOR BAHRU - Polis menumpaskan satu sindiket dengan anggota kumpulan itu menyamar sebagai polis dan melakukan kegiatan samun jalanan dan pecah rumah berikutan tertangkapnya lapan lelaki, minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, empat lelaki pertama ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Petaling, Kampung Sri Paya, Larkin pada 7.30 malam.

"Susulan daripada tangkapan itu, empat lagi rakan mereka ditahan di sebuah rumah Jalan Kebun Teh pada hari yang sama," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, mereka yang ditahan berumur antara 27 hingga 48 tahun.

Polis merampas pakaian seragam polis dengan tanda pangkat Lans Koperal, sepucuk pistol tiruan dengan kelopak mengandungi tiga biji bebola besi dan sarung pistol dengan tulisan "Police", sebilah pisau lipat, 14 utas jam tangan pelbagai jenama, 14 telefon bimbit pelbagai jenama, 11 peralatan elektronik dan sebuah motosikal yang dilaporkan dicuri.

Beliau percaya dengan tangkapan itu polis dapat menyelesaikan 15 kes samun jalanan, lima kes samun menyamar polis, tiga kes pecah rumah dan satu kes curi kenderaan. - Bernama

No comments:

Post a Comment