Wednesday, 9 April 2014

Sempat selamatkan sehelai baju pengantin

Sempat selamatkan sehelai baju pengantin
Sharipah menunjukkan sehelai baju pengantin sempat diselamatkan olehnya.


ALOR SETAR - “Dalam kekalutan, saya tak sempat menyelamatkan apa-apa kecuali sehelai baju pengantin yang akan dipakai pelanggan Rabu ini (hari ini)," demikian kata seorang mangsa ribut di Kampung Alor Gandak, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, kelmarin, lebih 50 kediaman di Flat Setia Jaya, Kampung Alor Gandak Limbong, Kampung Alor Gandak Tajar, Kampung Tanjung Inggeris dan Kampung Telaga Bata rosak.

Mangsa, Sharipah Ramli, 44, berkata, hampir 40 peratus bahagian tambahan baru dibina di kediamannya termasuk bilik menjahit musnah teruk akibat diterbangkan ribut.

“Malah, kerugian dialami dianggarkan bernilai hampir RM60,000. Bukan hanya barang kelengkapan rumah rosak, sebaliknya peralatan menjahit menerima nasib sama.

“Meskipun, bimbang memikirkan segala kerosakan dan kerugian ditanggung. Namun, yang paling penting buat masa ini adalah pakaian pengantin pelanggan,” katanya.

Katanya, dia lebih memikirkan perasaan bakal pengantin yang kemungkinan tidak dapat menikmati detik bahagia mereka disebabkan kejadian itu berbanding masalah dirinya buat masa ini.

“Kesiannya, jikalau dia tidak dapat memakai baju pengantin pada hari perkahwinan tersebut. Lagipun, mereka berharap kepada kita untuk kelancaran majlis itu,” katanya.

Sharipah berkata, dia juga buntu memikirkan 15 tempahan baju pengantin pelanggan yang perlu disiapkan olehnya sebelum bulan Mei ini kerana tiga mesin jahit sudah berendam air hujan.

Manakala, Robiatul Adawiyah Ismail, 33, berkata, ibunya, Norma Abd. Manaf, 58, dipercayai berada dalam kediamannya sendirian sewaktu hujan lebat hampir 10 minit itu.

Katanya, ibunya dipercayai keluar menyaksikan bagaimana angin kuat menggoncang kediaman, sebelum menerbangkan bahagian bumbung kediamannya itu.

Menurutnya, tiada barang dapat diselamatkan termasuklah barangan elektrik dan dokumen penting seperti sijil oleh ibunya kerana kejadian ribut berlaku dalam sekelip mata.

Jirannya, Che Amah Ahmad, 47, berkata, dia sedang mengemaskan baju dalam sebuah bilik sewaktu ribut melanda, namun menyedari hanya berbumbungkan langit apabila ke dapur.

Tidak lama kemudiannya, katanya, Norma yang tinggal bersebelahan kediamannya juga datang menemuinya, sambil memaklumkan bumbung kediamannya turut dibawa angin.

Sementara itu, Ketua Bahagian Umno Pokok Sena, Said Ali Syed Rastam berkata, dia menerima maklumat bahawa 50 kediaman di empat kampung dan satu rumah pangsa terkena ribut.

Difahamkan, katanya, kejadian ribut pada petang Isnin membabitkan banyak keluarga dilawatinya itu merupakan bencana terburuk buat masa ini.

Bagaimanapun, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudahpun membuat bancian, namun katanya, melalui Pejabat Menteri Besar mereka juga akan mengusahakan permohonan bantuan bencana.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment