Wednesday 9 April 2014

Parti liar 'Topless Friday Beach Party' - Tiada permohonan diterima


KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak pernah menerima permohonan daripada penganjur untuk mengadakan parti liar 'Topless Friday Beach Party' Jumaat ini, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib.

Beliau berkata sekiranya dimohon sekalipun, pihaknya tidak akan meluluskan sebarang program yang berunsur parti liar seperti itu di negara ini.

"Kita tak pernah lulus (permohonan)...Kita akan bagi surat tunjuk sebab kepada dia (penganjur) dan dia perlu jawab kenapa lesen mereka tak boleh ditarik.

"Dalam masa seminggu, jika mereka tak balas surat tunjuk sebab itu, kita akan ambil tindakan untuk batalkan lesen kelab itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, malam tadi.

Beliau berkata pada ketika ini, pihak penganjur telah diarah membuang semua poster bagi tujuan promosi parti berkenaan.

Parti itu dijadualkan berlangsung Jumaat ini bermula pukul 8 malam di sebuah kelab malam di Jalan Ampang dan meminta kaum wanita mamakai bikini atau yang lebih seksi manakala kaum lelaki diminta memakai seluar pendek sahaja.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Nor Azman Muhamad Yusuf yang dihubungi berkata polis akan mengambil tindakan tegas ke atas penganjur jika parti itu diteruskan.

"Ia dibuat secara haram memandangkan pihak DBKL tidak pernah mengeluarkan sebarang kelulusan. Kita tidak akan teragak agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur sekiranya mereka berdegil untuk meneruskan parti itu," katanya.

Nor Azman berkata polis menerima maklumat mengenai penganjuran parti itu semalam daripada orang ramai yang melihat iklan parti itu tersebar secara meluas dalam laman sosial sejak beberapa hari lepas.

"Setelah menerima maklumat dari orang ramai, kita terus menyiasat secara terperinci berkenaan pesta itu dan memanjangkannya kepada pihak DBKL," katanya.

Bernama

No comments:

Post a Comment