Keadaan motosikal mangsa yang terperosok di bawah lori setelah bergesel dengan sebuah motosikal lain.
SELINSING, Perak - Hasrat mahu menghantar adik ke sekolah berakhir dengan tragedi.
Seorang abang maut apabila motosikal dinaiki terperosok di bahagian bawah lori setelah bergesel dengan sebuah motosikal lain di Jalan Gula, di sini pagi kelmarin.
Dalam kejadian jam 6.50 pagi itu, mangsa, Muhammad Zulhaimi Saiidin, 18, sedang dalam perjalanan menghantar adiknya, Mohd Zulfitri Saiidin, 12, ke sekolah di kawasan Gunung Semanggol sebelum motosikal mereka bergesel dengan sebuah motosikal lain ditunggang seorang pelajar sekolah menengah.
Kejadian itu menyebabkan mangsa terperosok ke bawah sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan, manakala adiknya Mohd Zulfitri dan seorang lagi penunggang motosikal lain tercampak hampir lima meter dari tempat kejadian dan mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika ditemui mengesahkan menerima laporan kejadian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada motosikal yang ditunggang mangsa bergesel dengan motosikal seorang pelajar yang dalam perjalanan ke sekolah menengah berhampiran.
“Akibatnya, mangsa yang terjatuh terseret bersama motosikalnya dan merempuh sebuah lori muatan berat yang sedang diletakkan di bahu jalan utama.
“Dua orang mangsa lagi iaitu adiknya serta pelajar sekolah terbabit tercampak ke bahu jalan dan turut mengalami kecederaan parah.
“Kesemua mangsa dikejarkan segera ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan lanjut.” katanya.
Mat Fauzi berkata, mangsa yang terperosok di bawah lori disahkan meninggal dunia pada jam 7.11 petang hari kejadian.
“Mayat mangsa telah dituntut ahli keluarga semalam dan siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, pemandu lori Mohd Rosli Mohd Zaki,45, ketika ditemui berkata, sewaktu sedang memanaskan enjin kenderaan, dia terkejut terdengar bunyi dentuman yang kuat dari bahagian bawah lori.
Menurutnya, dia segera memeriksa kenderaannya dan tergamam melihat sebuah motosikal bersama penunggangnya tersepit di bahagian hadapan lori.
“Saya segera memeriksa bahagian bawah lori dan mendapati mangsa terperosok di situ dalam keadaan hampir tidak bernyawa.
“Saya kemudiannya menghubungi polis dan ambulans untuk memaklumkan kejadian tersebut,” katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment