Saturday 13 December 2014

Tarif elektrik kekal sehingga Jun 2015

MAHADZIR: Kadar tarif elektrik kekal sehingga Jun 2015, yang menyaksikan kerajaan menampung RM1.683 bilion bagi kos bahan api dan penjanaan elektrik. 

KUALA NERANG: Kadar tarif elektrik kekal sehingga Jun 2015, yang menyaksikan kerajaan menampung RM1.683 bilion bagi kos bahan api dan penjanaan elektrik.

Ini sekali gus membolehkan rakyat menikmati tarif elektrik pada kadar seperti biasa iaitu 38.53 sen per kilowatt setiap jam.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata rakyat tidak perlu bimbang tentang desas desus kenaikan tarif elektrik.

Susulan penangguhan terbabit, Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menanggung kos bagi bahan api dan penjanaan iaitu gas dan arang batu melalui dana tabungan menerusi rundingan semula Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA), Penjana Tenaga Bebas (IPP) generasi pertama.

TNB setakat ini masih mampu untuk menanggung kos terbabit biarpun kini harga bahan api gas dan dunia meningkat.

“Tarif elektrik untuk pengguna domestik dan juga industri dikekalkan seperti sebelumnya. Dari segi bahan api gas dan juga arang batu yang digunakan TNB, secara keseluruhannya kita berada pada tahap boleh bertahanlah buat masa ini.”

Beliau berkata demikian dalam program Jom Ke Sekolah Bersama TNB 2014 peringkat negeri Kedah, di Kuala Nerang, Kedah.

Pada majlis itu, TNB menyampaikan sumbangan bantuan kelengkapan persekolahan kepada 400 murid dari 21 buah sekolah kurang berkemampuan dari seluruh parlimen Padang Terap.

Peningkatan kos pelepasan kos tidak seimbang (ICPT) bagi tempoh dari Januari 2014 hingga 30 Jun, 2015, akan diserap menerusi penjimatan daripada rundingan semula perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan penjana tenaga bebas (IPP) generasi pertama.

Tarif elektrik di Semenanjung Malaysia ditetapkan menerusi sistem kawal selia berasaskan insentif (IBR) dan mekanisme ICPT yang dilaksanakan pada Januari 2014.

Mekanisme ICPT mengambil kira perubahan harga gas berpaip, gas asli cecair (LNG), arang batu, minyak bahan api sederhana, sulingan dan kos penjanaan lain seperti kos berkaitan PPA, kos penggantian daripada tenaga boleh baharu dan kos pembelian tenaga elektrik dari luar negara.

ICPT membolehkan kerajaan untuk menyemak kadar tarif setiap enam bulan berdasarkan kepada perubahan dalam harga bahan api dan penjanaan. 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment