Saturday, 13 December 2014

Penembusan jalur lebar di Malaysia kini 67 peratus

Ahmad Shabery Cheek

KEMAMAN - Kadar penembusan jalur lebar di Malaysia yang kini mencapai 67 peratus merupakan satu pencapaian yang membanggakan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, Malaysia adalah antara negara yang dapat mengakses internet berbanding negara lain terutamanya di Asean.

"Kita bangga kerana negara kita antara negara yang tertinggi dari segi kadar penembusan jalur lebar yang mana lebih 67 peratus daripada penduduk kita yang mendapat akses kepada internet ketika ini.

"Walaupun ia masih belum sampai ke tahap seperti Korea Selatan misalnya, tetapi kalau dibandingkan di rantau ini, kecuali Singapura kerana republik itu merupakan negara yang kecil, pencapaian kita adalah di tahap membanggakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kampung 'Internet For All' (IFA) pertama di negara ini, yang diperkenalkan oleh syarikat telekomunikasi DiGi di Kampung Gong Chengal di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif DiGi, Lars Norling dan Pengarah DiGi.com Berhad Datuk Ab Halim Mohyiddin.

Ahmad Shabery berkata, kementerian berharap penembusan jalur lebar di negara ini dapat ditingkatkan kepada lebih 100 peratus dalam satu masa yang diharapkan.

Menurutnya, bagi melaksanakan matlamat itu, Malaysia memerlukan banyak hubungan dan pembinaan yang menelan belanja besar terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Justeru itu, katanya kerajaan amat memerlukan kerjasama dari pelbagai pihak untuk capaian internet di seluruh negara.

"Untuk menyediakan internet dan jalur lebar yang berkelajuan tinggi, sudah tentu memerlukan pelaburan yang cukup besar dan kita rasakan mana-mana kerajaan terpaksa menggunakan sumber yang banyak dan tidak mungkin dapat dilakukan sendiri kerana kos yang terlalu besar.

"Kita berterima kasih kepada syarikat-syarikat swasta yang membantu untuk menyediakan kemudahan internet seperti yang dilaksanakan DiGi untuk kemudahan penduduk kampung," katanya.

Sementara itu, Norling berkata, Kampung IFA diperkenalkan dalam usaha membantu masyarakat luar bandar mendapat capaian internet menerusi Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) yang dibina DiGi dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

"Sehingga kini, terdapat 64 buah PI1M yang dibina oleh DiGi di seluruh negara sejak 2009 dengan 34 daripada sudah siap dibina dan 30 lagi dalam dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun depan.

"DiGi akan terus memperkenalkan Kampung IFA secara berperingkat di kampung yang mempunyai PI1M," katanya sambil memberitahu kira-kira 800 keluarga di Kampung Gong Chengal mendapat manfaat daripada program itu.

Menerusi program itu, DiGi akan memastikan setiap keluarga memiliki satu telefon pintar yang dapat mengakses internet dan akan mendidik pengguna mengenai cara menggunakan internet dengan selamat. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment