Tuesday 2 December 2014

Parang, azimat, gambar Sultan Sulu antara ditemui

KOTA KINABALU - Parang, azimat dan gambar Sultan Sulu ditemui di sebuah rumah di Beluran, yang menjadi tempat tinggal seorang daripada tertuduh dalam insiden pencerobohan Lahad Datu, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

Pegawai Polis Kinabatangan, Inspektor Mohammad Azwan Abdul Wahab, 31, yang ketika itu pegawai siasatan jenayah di ibu pejabat polis Beluran, berkata barang-barang itu ditemui dalam sebuah bilik kecil rumah Pabblo Alie di Kampung Muanad 1, Beluran apabila polis tiba untuk menangkapnya dan menggeledah rumahnya untuk mencari barang-barang yang ada kaitan dengan pencerobohan kira-kira pukul 5.15 petang pada 10 April tahun lepas.

Apabila mengenal pasti barang-barang itu di mahkamah, Mohamad Azwan berkata beliau dan pasukannya merampas dua bilah parang menebas, empat parang kecil (barong) dengan sarung kayu dan beg plastik hijau muda yang mengandungi pakej kertas kecil dengan tulisan Jawi dan kain kuning dibentuk menjadi bola.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar bagaimana dia tahu bahawa pakej kertas dan kain kuning yang dibentuk menjadi bola itu ialah azimat, beliau berkata seorang daripada orang-orangnya memberitahunya bahawa barang-barang itu dijadikan pelindung oleh pemiliknya.

Mohammad Azwan memberi keterangan pada perbicaraan 30 orang yang menghadapi pelbagai pertuduhan bersabit dengan pencerobohan sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari tahun lepas.

Pegawai polis itu memberitahu mahkamah bahawa gambar lelaki yang ditemui beliau dan pasukannya ialah dalam bingkai coklat gelap dan pada gambar-gambar itu tertera perkataan "Sultan Esmail Dalus Kiram ibni AL-MARHOM SULTAN PUNJUNGAN Kiram AL-SULTAN Shariful HASHIM, SULTAN Sulu dan BORNEO UTARA (SABAH) yang sah.'

Beliau juga berkata tertera pada gambar itu ialah logo yang melahirkan perkataan "SULTAN Esmail Kiram II' dan 'Kerajaan Kepulauan Sulu dan Borneo Utara Sabah) 'serta beberapa huruf Jawi dan gambar bendera.

Mohammad Azwan berkata, beliau dan pasukannya turut merampas satu lagi gambar seorang lelaki dengan tulisan Jawi dan dimuatkan dalam bingkai emas.

Barang-barang lain yang beliau kenal pasti hari ini ialah 117 keping wang kertas RM1, tiga keping wang kertas RM2, wang kertas RM5, 30 keping wang kertas RM10, empat keping wang kertas RM20 dan enam keping wang kertas RM50.

Beliau juga mengenal pasti mata wang asing serupa dengan yang dirampas dari rumah Pabblo - sekeping wang kertas Dolar Brunei, dua keping wang kertas 5 Yen, dua keping wang kertas 10 Yen, satu keping wang kertas Peso Filipina, sekeping wang kertas 10 Peso, dua keping wang kertas 100 Peso dan satu keping wang kertas 1,000 Peso.

Turut dikenal pasti ialah tiga telefon bimbit Nokia, dua telefon bimbit Motorola dan sebuah pengecas telefon bimbit Nokia serta MyKad milik tertuduh.

Di kandang tertuduh hari ini ialah 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan yang menghadapi satu atau pelbagai tuduhan.

Mereka dituduh menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Februari dan 10 April tahun lepas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment