Tuesday 18 November 2014

Virus selesema burung ditemui di ladang ternakan Belanda, Britain

Beberapa ekor itik di sebuah ladang ternak Britain yang didapati telah dijangkiti oleh virus selesema burung. - Foto AFP/Oli Scarff

HEKENDORP: Pegawai kesihatan Belanda menjalankan pemeriksaan di beberapa ladang ternakan di negara itu selepas penemuan virus selesema burung di Britain dan Jerman.

Pihak berkuasa juga telah mengharamkan pemindahan ayam dan itik di negara itu selepas virus selesema burung yang paling bahaya dikesan di sebuah kampung di Hekendorp. Virus dikesan juga mampu dijangkiti manusia.

Dianggarkan kira-kira 150,000 ekor ternakan di ladang itu telah dimusnahkan mengikut peraturan Eropah sebagai langkah berjaga-jaga.

Langkah itu telah dipuji oleh Suruhanjaya Eropah (EU) yang melihat satu langkah penting bagi menghalang penyebaran virus itu.

Sementara itu sebuah ladang ternakan itik di utara England telah ditutup pada hari Isnin selepas penemuan virus selesema burung di kawasan itu. Bagaimanapun, pegawai kesihatan negara itu berkata risiko virus itu berjangkit kepada manusia adalah rendah.

Kira-kira 6,000 ekor itik telah dimusnahkan dan kawasan berdekatan Driffield di Yorkshire seluas 10 kilometer telah ditutup.

Pakar virologi dan virus selesema burung terkenal Ron Fouchier, berkata pihak berkuasa Britain mendapati virus H5N8 ini adalah sama dengan virus yang ditemui di Jerman awal bulan ini dan sekarang di Belanda.

“Virus di UK adalah sama dengan virus yang ditemui di Jerman iaitu H5N8,” Fouchier memberitahu AFP.

Sumber EU berkata, virus yang sama telah ditemui di Belanda, Britain dan Jerman dan ia menjangkakan virus itu akan ditemui di negara Eropah lain seperti Perancis, Sepanyol dan Itali. Tambah beliau, virus itu mungkin berasal daripada angsa-angsa yang berhijrah dari kawasan utara ke selatan.

Sebelum ini virus H5N8 hanya didapati di Asia yang menyebabkan pemusnahan ribuan burung dan unggas, kebanyakkannya itik dua bulan lepas pengesanan virus itu di Korea Selatan.

Fouchier berkata, pihaknya sedang menyiasat bagaimana virus itu sampai ke Belanda.

“Kami tidak tahu bagaimana virus itu merebak di kawasan ini kerana ladang ternakan di sini tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan Asia,” beliau berkata.

Bagaimanapun beliau berkata virus itu berkemungkinan telah merebak melalui burung liar seperti itik atau angsa yang berhijrah dari Asia dan singgah di ladang ternakan Belanda itu.

Beliau juga menekankan bahawa virus itu tidak sama dengan virus yang merebak di Asia Tenggara pada 2005-2006 yang meragut lebih daripada 400 nyawa.

“Virus H5N1 ditemui di Asia Tenggara dan ia muncul buat pertama kali pada tahun 2003. Virus H7N9 pula telah meragut lebih daripada 170 nyawa selepas ia buat kali pertama dikesan pada 2013.

Virus H7N7 telah ditemui di Belanda pada tahun 2003 dimana sebanyak 30 juta burung telah dimusnahkan oleh pegawai kesihatan negara itu.

Terdapat sebanyak 95 juta ayam di ladang ternakan Belanda. 

- Sumber: AFP melalui Astro Awani 

No comments:

Post a Comment