Monday 17 November 2014

Jadikan kes Lolanopita satu pengajaran


NILAI - Ibu bapa yang buntu tentang bagaimana hendak menjaga anak OKU boleh menghantar anak mereka kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata JKM sedia menerima anak OKU. 

"Jika ada ibu bapa buntu...jangan sesekali abaikan (anak-anak) mereka dan jalan terakhir ialah menyerahkan mereka kepada JKM.

"Mengabaikan kanak-kanak adalah satu kesalahan dari segi undang-undang. 

"Kanak-kanak OKU yang diserahkan kepada JKM akan diletakkan di tempat yang bersesuaian dan memastikan mereka mendapat rawatan pemulihan dan sebagainya.

"Sebagai kanak-kanak OKU, mereka mempunyai hak, dan jangan kita menidakkan hak mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup dan penyampaian sijil program 'Nilai U - NIEW Future Leaders Camp 2014' di sini, hari ini. 

Beliau diminta mengulas keputusan Mahkamah Sesyen Seremban hari ini yang menjatuhkan hukuman penjara empat bulan dan denda RM10,000 terhadap Lolanopita Sadi, 40, yang mengabaikan anak lelakinya Muhammad Firdaus Dullah, 15, seorang OKU.

Katanya kes Lolanopita adalah satu pengajaran dan hendaklah diambil iktibar.

Beliau berkata, JKM menyediakan talian Child Helpline 15999 untuk ibu bapa yang menghadapi situasi yang sama mendapatkan nasihat.

Ditanya sama ada Lolanopita boleh mengambil anaknya semula selepas tempoh tahanan itu, beliau berkata JKM kena serahkan kepadanya sebab dia ibunya, tetapi dengan bersyarat. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment