Monday 17 November 2014

Facebook bakal perkenal laman sosial versi kegunaan 'pejabat'

Facebook telah secara rahsia merangka persediaan membina sebuah laman baru yang dipanggil Facebook At Work

KUALA LUMPUR: Facebook akan memperkenalkan satu laman sosial versi kegunaan pejabat untuk bersaing dengan laman setara dengannya seperti Linkedln, lapor Financial Times pada Isnin.

Kata laporan tersebut, Facebook telah secara rahsia merangka persediaan membina sebuah laman baru yang dipanggil ‘Facebook At Work’ yang mana laman tersebut bakal membolehkan pengguna bercakap dengan rakan sekerja, komunikasi dengan golongan profesional dan kolaborasi dokumen.

Pada bulan lepas, Facebook melaporkan keuntungan suku tahun hampir dua kali ganda kepada US$802 juta (kira-kira RM2,680 juta).

“Kami dalam perancangan membuat persediaan masa hadapan melalui pelaburan agresif, menghubungkan semua orang, memahami dunia dan membina generasi akan datang di platform pengkomputeran.

"Perjalanan kami masih jauh,” kata pengasas dan ketua pegawai eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg.

Facebook turut berusaha untuk meluaskan penawarannya dan melancarkan satu aplikasi yang membolehkan orang ramai berbual tanpa nama di alam maya – seolah mengimbau ciri bilik sembang di zaman awal internet.

Ia juga sedang menguji ciri yang membolehkan pengguna rangkaian sosial terkemuka membuat pembelian semudah menekan butang "Beli" pada skrin. 

- Sumber: AFP melalui Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment