Monday 17 November 2014

24 Pati diberkas, bot dinaiki karam

Romli Mustafa sedang menyoal siasat Pati yang diberkas.

KLANG – Seramai 24 pendatang asing tanpa izin (Pati) berdepan detik cemas apabila bot pancung yang dinaiki karam, selepas dikejar sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, kelmarin.

Pengarah Operasi Maritim Daerah Klang, Komander Maritim Romli Mustafa berkata, kesemua Pati, termasuk dua tekong warga Indonesia, berjaya diberkas, selepas pihaknya mengesan bot berkenaan jam 9.05 malam, kira-kira tujuh batu nautika dari Tanjung Sepat, di sini.

“Sepasukan anggota yang melakukan rondaan mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan melalui Sistem Pengawasan Laut Maritim.

"Bot yang sarat dengan penumpang itu cuba mengelak setelah menyedari kehadiran kita.

“Kita berjaya memintas bot berkenaan selepas mengejarnya selama 15 minit. Kita dapati 21 warga Bangladesh dan seorang warga Afghanistan di dalam bot itu,” katanya.

Hasil siasatan mendapati, modus operandi sindiket membawa masuk Pati itu menggunakan laluan udara dari Bangladesh ke Singapura pada 10 November lalu.

“Kesemua Pati itu kemudian pergi ke Pekanbaru, Dumai, Indonesia, sebelum masuk ke Malaysia. Kita juga percaya ejen Pati itu menunggu di lokasi tertentu di perairan negara,” katanya.

Kesemua Pati yang berusia dari 20 hingga 40 tahun itu dibawa ke jeti daerah Maritim Klang untuk siasatan lanjut.

“Mereka direman untuk siasatan mengikut Seksyen 5 (1) Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007,” katanya.

Romli berkata, pihaknya akan meneruskan operasi untuk membanteras Pati yang menggunakan laluan laut untuk keluar dan masuk.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment