Sunday, 3 August 2014

Tidak simpan dendam walau hilang anak

Seorang ahli keluarga terdekat membawa jenazah Amir untuk dikebumikan di Subang Jaya, Selangor. Gambar kecil: Haslida.
Seorang ahli keluarga terdekat membawa jenazah Amir untuk dikebumikan di Subang Jaya, Selangor. Gambar kecil: Haslida.

TAMPIN - "Mana mungkin saya salahkan adik," kata Haslida Yahya, 29, ibu kepada bayi yang maut tercampak apabila kereta dinaiki lima sekeluarga terbabas dan merempuh tiang papan tanda sebelum terbalik di Kilometer 42.8 Jalan Tampin - Gemas, dalam kejadian kira-kira 9.25 pagi Rabu lalu.

Haslida berkata demikian merujuk kepada adiknya, Zulikha Yahya, 26, yang memandu kenderaan menyebabkan seorang daripada anak Haslida, Muhammad Amir Zikri Abdullah, setahun tiga bulan, maut dalam nahas itu.

Seorang lagi anak Haslida, Norhakimi Fakihin Abdullah, 7, dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah akibat cedera parah bersama ibu mereka, Noraini Mohd Yusuf, 55, yang turut cedera. Manakala, mayat Muhammad Amir pula dibawa ke Hospital Tampin.

Ketika kejadian, Haslida berada di Scotland kerana menjalani latihan praktikal selama enam bulan.

Katanya, ketika dimaklumkan tentang kejadian meragut nyawa anaknya itu, dia dalam perjalanan menaiki bas dari Scotland menuju ke London bagi menyelesaikan tugasan praktikal bersama sebuah syarikat swasta agensi pelancongan di United Kingdom (UK).

Haslida berkata, selepas mendapat berita itu, fikirannya hanya untuk mendapatkan tiket pulang ke Malaysia melihat sendiri keadaan anaknya.

Sebaik tiba di KLIA kira-kira 10.30 malam, katanya, dia terus ke HTAN untuk berjumpa Zulikha dan ibunya terlebih dulu sebelum melihat sendiri keadaan Hakimi yang masih dirawat sekitar 1 pagi.

Katanya, sebaik berjumpa, Zulikha terus meminta maaf dan berasa sangat bersalah.

“Saya tenangkan dia. Saya katakan ini semua takdir dari Ilahi. Mana mungkin saya salahkan adik dan emak saya kerana mereka sudah bersusah payah menjaga anak-anak saya sejak saya menjalani latihan praktikal pada 15 April lalu.

“Malah, saya juga menunaikan permintaan adik untuk melihat jasad Amir sebelum dikebumikan di Subang Jaya dengan membawa jenazahnya ke HTAN," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tampin, dekat sini, semalam bagi menuntut jenazah Amir.

Katanya, selepas ini, dia akan menemani Hakimi yang masih dirawat di HTAN.

"Kali terakhir saya membuat panggilan video dengan anak-anak saya ialah sekitar empat hari sebelum hari raya.

“Saya akan berada di sini dan akan berhadapan dengan segala kemungkinan. Jika perlu habiskan baki praktikal di UK, saya ingin bawa anak-anak saya termasuk Nurfahrin Fakihin Abdullah, 6, kerana tidak mahu berpisah lagi," katanya. - Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment