Sunday 3 August 2014

Maut ketika cuci kolam

Mayat mangsa dikeluarkan dari kolam ikan dan dihantar ke HRPZ II untuk bedah siasat.
Mayat mangsa dikeluarkan dari kolam ikan dan dihantar ke HRPZ II untuk bedah siasat.

BACHOK – Seorang peniaga kedai makan maut akibat terkena renjatan elektrik ketika membersihkan kolam ikan miliknya di Taman Mahkota Pantai Irama, jam 1.15 petang semalam.

Mayat mangsa, Wan Mohd Hadi Wan Mahmud, 40, ditemui oleh isterinya, Ruzila Che Ajid, 35, dalam keadaan terbaring di tempat kejadian.

Menurut Ruzila, sebelum kejadian suaminya memberitahu mahu membersihkan kolam ikan tersebut dan aktiviti berkenaan sememangnya menjadi rutin mangsa selang dua atau tiga hari dalam seminggu.

“Ketika kejadian saya berada lebih kurang 10 meter dari kolam yang suami saya bersihkan dan sedang mencucuk sate.

"Kemudian saya dengar bunyi sesuatu jatuh ke dalam air tetapi tidak mengesyaki itu suami saya dan tidak mempedulikannya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) semalam.

Ibu kepada lima anak itu bagaimanapun dia terus bergegas ke kolam berkenaan setelah salah seorang anaknya memberitahu suaminya tidur dalam kolam tersebut.

"Saya cuba tarik suami saya keluar dari kolam tetapi gagal kerana kaki saya terkena renjatan elektrik. Saya bersyukur kerana saya sempat menutup suis pam selepas itu," katanya.

Tambah Ruzila, kebiasaannya suaminya akan menutup suis pam oksigen kolam tersebut sebelum mencuci, tetapi mungkin kali ini dia terlupa setelah melihat semua ikan sudah mati dan kemungkinan terdapat wayar rosak.

Katanya, kolam itu dibina sendiri oleh mangsa sejak enam tahun lalu dan dia gemar mencari ikan sungai untuk diletakkan dalam kolam berkenaan untuk dijadikan lauk.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Supritendan Abdul Hamid Che Ahmad mengesahkan kes itu dan mengklasifikasikan kejadian sebagai mati mengejut.

“Tiada kecederaan didapati pada badannya dan mayat mangsa dihantar ke HRPZ II untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya,” katanya.

Mangsa dikebumikan malam tadi di Tanah Perkuburan Kampung Pantai Melawi. - Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment