Sunday, 3 August 2014

Air Selangor kena sabotaj lagi

Ahmad Yunus (kiri) dan Mohd Khairi menunjukkan power-pack yang dipotong

BESTARI JAYA - Enam pam di bawah pengawasan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi aliran masuk Sungai Selangor ke Kolam Hang Tuah, di sini didakwa disabotaj awal pagi semalam.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, enam pam power-pack terbabit didakwa dipotong individu tidak bertanggungjawab sekitar jam 1 pagi dan kejadian ini dianggap serius kerana ia boleh menjejaskan bekalan air rakyat Selangor.

“Saya menerima SMS memaklumkan perkara itu sekitar 2.30 pagi semalam. Melalui pemerhatian saya tiada barang yang bernilai pada pendawaian tersebut yang menarik perhatian untuk dipotong dan saya merasakan ada unsur sabotaj pada sistem pengepaman kita.

“Kita bernasib baik kerana dawai yang dipotong itu untuk pam air dari sungai masuk ke kolam dan ini tidak mengganggu pengeluaran air dar kolam ke sungai yang sedang kita laksanakan sekarang ini.

“Bagaimanapun, kita memandang serius perkara ini dan kita tidak mahu ia berterusan kerana sebelum ini juga pengepaman kita pernah disabotaj dan perkara seperti ini merugikan kita,” katanya ketika ditemui melawat lokasi kejadian, semalam.

Hadir sama, Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Mohd Khairi Selamat.

Sehubungan itu katanya, pada mesyuarat jawatankuasa air minggu depan akan memberi penekanan terhadap perbincangan isu keselamatan dan kebajikan operator yang bertugas di lokasi pam.


Cadang tingkat keselamatan

Beliau berkata, perkara itu antara lain turut membincangkan sama ada kepentingan menambah jumlah pasukan keselamatan, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) untuk mengawal.

“Buat masa ini, kita tempatkan dua anggota Rela di setiap pam kita di mana jumlah keseluruhan 28 pam dan di Bestari Jaya terdapat 24 pam.

“Apabila berlaku perkara seperti ini, kita mungkin untuk mempertimbangkan penambahan jumlah operator atau anggota Rela supaya setiap masa ada pengawasan dan meminta kerjasama pegawai daerah untuk menjadualkan semula,” katanya.

Ahmad Yunus berkata, kerajaan negeri akan membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan dalam pada itu meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tampil membantu siasatan.

“Kita bimbang keselamatan operator kita jika masalah ini kerap berulang. Dalam usaha kita menuju kepada sistem infrastruktur kelas pertama tetapi sistem atau pemikiran masih berada pada kelas yang ketiga. Kejadian ini menunjukkan mereka yang terlibat tiada rasa

tanggungjawab ke atas usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri untuk mengatasi isu air pada masa ini,” katanya.


Jamin tiada catuan air

Sementara itu, beliau memberi jaminan tiada catuan air dalam masa terdekat dan minggu hadapan kerajaan negeri akan meningkatkan kapasiti pengepaman kepada 800 juta liter sehari (JLH).

Beliau menambah, paras Sungai Selangor dijangka mencukupi hingga tiga minggu dan setakat ini kerajaan negeri meneruskan usaha mengepam keluar air daripada kolam ke sungai dengan kapasiti 400 hingga 500 JLH.

“Setakat ini keputusan masih sama iaitu tiada catuan air dan sentiasa memantau kolam-kolam kita manakala pembenihan awan dilakukan dua kali sehari.

“Kita laksanakan pembenihan awan seluruh negeri dan bukan hanya tertumpu di Sungai Selangor malah di Sungai Langat, Sungai Klang yang menjadi sumber air mentah untuk dirawat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung dakwaan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang membuat kenyataan Abdul Khalid berpura-pura tidak tahu air di Selangor berada pada tahap darurat dan mencadangkan catuan dan penjimatan air perlu dilakukan segera
sebelum Selangor kehabisan bekalan air.


MB gesa polis siasat

Sementara itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melalui laman Facebooknya menggesa pihak berkuasa segera melakukan siasatan sabotaj bekalan air di Selangor,

“Bekalan air sekali lagi disabotaj awal pagi tadi. Mohon pihak Polis Diraja Malaysia lakukan siasatan segera dan hentikan perbuatan khianat ini,” katanya.

Sabotaj ini bukan kali pertama berlaku dan sebelum ini, sekumpulan samseng menghalau operator yang bertugas di projek HORAS, laporan polis telah dibuat pada 27 Julai lalu. - Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment