Hadar Goldin - AP Photo/YNet News
BAITUL-MAQDIS: Tentera Israel pada Ahad mengumumkan seorang anggotanya yang hilang sejak dua hari lalu dalam operasi ketenteraan di Gaza, telah terbunuh, lapor AFP.
“Satu jawatankuasa khas IDF (tentera Israel) mengumumkan kematian pegawai infantri Hadar Goldin, yang terbunuh dalam pertempuran di Semenanjung Gaza pada Jumaat,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan tentera rejim.
Bagaimanapun jurucakap tentera enggan mengesahkan sama ada mayat tentera terbabit telah ditemui ataupun tidak.
Anggota keluarga Goldin telah dimaklumkan mengenai perkara itu, tambah menyataan itu lagi.
Rejim sebelum ini mendakwa Goldin, 23, telah diculik pejuang Hamas dari briged al-Qassam selepas pergerakan itu memaklumkan ia telah berjaya membunuh tentera Israel dalam satu serangan hendap. Namun ia menafikan telah berjaya menahan Goldin.
“Kami telah terputus hubungan dengan unit pejuang yang melakukan serangan hendap itu dimana kami percaya kesemua mereka telah terkorban dalam serangan tentera rejim termasuk anggota tentera yang dikatakan telah ditawan pihak kami,” kata kenyataan pergerakan itu yang dikeluarkan pada Sabtu.
Dengan perkembangan terbaru ini, angka kematian di pihak tentera Israel kini adalah 64 orang manakala lebih 1,700 lagi terkorban di pihak Palestin sejak rejim melancarkan serangan kejam ke bumi Gaza pada 8 Julai lalu. - AFP melalui ASTRO Awani
No comments:
Post a Comment